Harian Metro

Ujian lebih getir!

Zii Jia perlu elak kesilapan jika mahu berjaya di Terbuka Indonesia

- Oleh Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Ranjau cukup berliku akan dilalui jaguh perseorang­an profesiona­l negara, Lee Zii Jia sekiranya mahu melangkah jauh di Terbuka Indonesia.

Selepas melepasi pusingan pertama kelmarin dengan menewaskan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin 21-15, 21-14, Zii Jia akan bertemu wakil India, Sameer Verma di pusingan kedua hari ini sebelum berdepan ujian lebih getir sekiranya berjaya melangkah ke suku akhir.

Ini kerana, menantinya di peringkat itu adalah juara dunia, Loh Kean Yew jika pemain dari Singapura itu turut berjaya melepasi pusingan kedua.

Andai dapat menewaskan Kean Yew, Zii Jia diramal berdepan tugas lebih sukar di separuh akhir bertemu sama ada pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark atau wakil tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting yang menyingkir­kannya di suku akhir Masters Indonesia, minggu lalu.

Apapun pemain yang menduduki ranking kelima dunia itu mahu fokus kepada pertemuan dengan Verma dalam usahanya mengharapk­an keputusan lebih positif selepas tersingkir awal di Masters Indonesia.

“Saya tidak berpuas hati 100 peratus (prestasi ketika menentang Sitthikom), perlu lagi mengurangk­an kesilapan mudah dan meningkatk­an tahap fokus. Memandangk­an ini kejohanan berturut-turut, saya rasa kebanyakan pemain agak letih. Saya fikir segalanya mengenai mental dan fokus untuk bertahan lebih lama dalam kejohanan. Itulah cabarannya,” katanya.

Zii Jia menjadi sandaran untuk mengakhiri penantian Malaysia muncul juara kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu selepas kali terakhir dimenangi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia