Harian Metro

Peserta muda MTHQK mahu banggakan ibu, arwah bapa

-

Johor Bahru: Peserta muda Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK), Muhammad Ameinullah Abdur Rahman, 13, tidak pudar semangat untuk meneruskan langkah dan memperdeng­arkan hafazannya walaupun baru kematian bapa Februari lalu.

Arwah bapanya yang juga bekas guru besar sekolah tahfiz, Abdur Rahman Abdul Jalil meninggal akibat angin ahmar.

Pada masa sama, berbekalka­n semangat ibu, Intan Kamsina Sidek, 50, pelajar Solahuddin Quranic School dari Paka, Dungun, Terengganu ini mewakili negerinya buat julung kalinya selepas terpilih di peringkat negeri dalam kategori hafazan al-Quran satu hingga 10 juzuk.

“Ketika dapat tahu berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan, rasa gembira, bahagia dan teruja kerana dapat membanggak­an ibu saya. Ketika dimaklumka­n, ibu menangis.

“Kerana itu saya kembali bersemanga­t untuk meneruskan hafazan. Kehilangan bapa dalam tempoh yang singkat sebelum MTHQK memberi ujian besar buat saya.

“Ada kala saya rasa tidak kuat untuk meneruskan hafazan, tetapi apabila teringat pesanan arwah bapa dan tangisan bahagia ibu, saya kembali bersemanga­t,” katanya ditemui di Pusat Islam Iskandar di sini, semalam.

Menurut Muhammad Ameinullah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik, dia sudah menghafaz 16 juzuk al-Quran sejak mula menghafaz pada usia 10 tahun.

Katanya, selepas kematian bapa, ibu, abang dan kakak menjadi pendorong utama.

“Abang kelima, Muhammad Zulhilmee yang berusia 25 tahun banyak membantu kerana dia berpengala­man, malah dinobatkan johan MTHQK pada 2019.

“Sebelum pertanding­an, saya akan ulangkaji bersama rakan dan ustaz. Setiap hari juga, saya akan membuat ulang kaji sendiri pada pagi, petang dan malam untuk menguatkan daya ingatan,” katanya.

Dia juga bersyukur dan gembira dengan ketibaan ibunya yang sempat melihatnya memperdeng­arkan hafazan di pentas MTHQK.

Sementara itu, Intan Kamsina berkata, dia bersyukur berpeluang melihat anaknya di pentas MTHQK.

Katanya, arwah suami adalah tulang belakang kepada enam daripada sembilan anak mereka yang menghafaz al-Quran.

“Arwah suami meminta saya jaga setiap anak daripada awal hamil, ia bermaksud menjaga daripada segi makanan. Ia agar mereka tidak makan makanan yang meragukan.

“Semua anak saya, sejak dalam kandungan, arwah suami akan memperdeng­arkan bacaan al-Quran,” katanya.

 ?? ?? MUHAMMAD Ameinullah
MUHAMMAD Ameinullah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia