Pelajar bertuah terima motosikal
Kepala Batas: Bukan saja dikejutkan dengan keputusan cemerlang 10A, malah Nur Tasnim Mohd Fadzli, 18, menerima kejutan berganda apabila dihadiahkan motosikal sempena kejayaan itu.
“Saya terkejut nama diumum memperoleh 10A malah tidak menyangka dihadiahkan pula motosikal.
“Syukur dengan rezeki ini dan saya akan ambil lesen untuk guna motosikal bagi tujuan menyambung pengajian,” katanya selepas majlis penyerahan keputusan SPM sekolah berkenaan semalam.
Nur Tasnim yang menetap di Kampung Baru, Pokok Sena ditemani bapanya, Mohd Fadzli Abdul Rahman, 49, dan ibunya, Mariyatulkhetiah Mohamad, 47.
Katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Maarifil Wataniah di sini, pada peperiksaan percubaan SPM, dia hanya memperoleh 4A.