Harian Metro

Ayam segar kembali dijual di Singapura

-

Singapura: Ayam segar kembali dijual di beberapa gerai pasar basah pada Rabu selepas Malaysia membatalka­n sebahagian larangan eksportnya dengan membenarka­n ayam kampung hidup dan ayam hitam hidup dibawa masuk ke Singapura.

Channel News Asia (CNA) melaporkan peniaga yang membuka semula gerai untuk menjual hanya ayam jenis itu menjelaska­n, mereka terpaksa menaikkan harga ayam kampung kira-kira 3 dolar Singapura (kira-kira RM9.50) sekilogram kerana kenaikan kos oleh pembekal.

Ketika CNA melawat Pasar dan Pusat Makanan Clementi 448 pada pagi Rabu, dua daripada tiga gerai ayam itu dibuka, menjual daging ayam kampung dan ayam hitam.

Pemilik Gerai Ayam Sin Heng yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, dia terpaksa menaikkan harga kerana pembekal turut menaikkan harga.

“Sesetengah daripada pelanggan akan merungut kerana ia mahal, tetapi pelanggan yang mahukan ayam segar masih tetap membeli,” katanya yang menutup gerainya minggu lalu selepas menjual stok terakhir ayam sejuk beku berikutan larangan Malaysia terhadap eksport ayam pada 1 Jun.

Dia berjaya mendapatka­n bekalan kira-kira 20 ekor ayam untuk dijual pada Rabu dan menjelaska­n akan membuka semula gerai sekiranya memperoleh­i bekalan untuk dijual. Pengimport ayam di Singapura mula membawa masuk semula ayam kampung dan ayam hitam, pada Selasa, selepas Malaysia melonggark­an larangan eksportnya.

Surat itu tidak menyatakan kuantiti ayam kampung hidup dan ayam hitam yang akan tersedia untuk dieksport.

Seorang peniaga lain yang hanya mahu dikenali sebagai Ma berkata, sebelum larangan eksport ayam oleh Malaysia bermula, harga ayam daging meningkat kepada kira-kira 10 dolar Singapura (kira-kira RM31.70) sekilogram daripada kira-kira 8 dolar Singapura (kira-kira RM25.30) pada bulan Mei.

Dia berkata, pada masa ini, harga seekor ayam kampung boleh meningkat sehingga 19 dolar Singapura (kira-kira RM60), bergantung kepada berat.

Suri rumah, Yeo Ah Kiang, yang membeli ayam kampung dari gerai Ma berkata, dia membeli pelbagai jenis ayam bergantung kepada apa yang dia rancang untuk masak untuk minggu itu.

“Hanya ada ayam kampung yang ada hari ini jadi saya beli,” katanya sambil menambah kenaikan harga boleh diterima, asalkan ia tidak drastik. - Agensi

Naikkan harga ayam kampung kira-kira 3 dolar Singapura (kira-kira RM9.50) sekilogram

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia