Harian Metro

Malaysia jadi transit sindiket dagang hidupan liar haram

-

Kuala Lumpur: Tidak hanya dijadikan transit utama sindiket dadah antarabang­sa, malah Malaysia kini turut menjadi transit ‘persinggah­an’ rangkaian sindiket pemerdagan­gan hidupan liar haram.

Ini terbukti apabila beribu burung murai batu berasal dari Thailand dirampas di negara ini oleh pihak berkuasa tempatan sejak awal tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjun­g Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sebanyak 678 ekor spesies burung murai batu berjaya dirampas pihaknya sejak Januari 2022 sehingga Mei lalu.

Menurutnya, jumlah itu jelas meningkat berbanding 425 ekor spesis burung murai batu yang dirampas dalam tempoh sama tahun lalu.

“Selain spesies burung murai batu, terdapat beberapa spesies burung tempatan lain berjaya dirampas Jabatan Perhilitan antaranya burung bayan puling, merbah luris leher, murai kampung, bayan serindit, burung daun kecil, kelicap kunyit, tiong mas dan lain-lain,” katanya.

Abdul Kadir berkata, pihaknya melakukan pelbagai inisiatif untuk menyelamat­kan unggas ini dengan mengekang aktiviti pemburuan haram melalui Op Bersepadu Khazanah (OBK).

Menurutnya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pada masa sama katanya, Perhilitan juga bekerjasam­a dengan agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Semenanjun­g Malaysia, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) dan Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ).

Jelasnya, kerjasama yang baik turut diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pemulihara­an Hidupan Liar (WCS), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), Pakatan Pemulihara­an Harimau Malaysia (MYCAT), Rimba dan Tabung Hidupan Liar (WWF). Hasilnya, beliau berkata, pihaknya berjaya melakukan tangkapan suspek dan rampasan burung bernilai RM2.5 juta sejak 2019.

Terbaru pihaknya dengan bantuan polis Bukit Aman berjaya merampas 72 ekor burung murai batu susulan serbuan di sebuah kediaman di Taman Menglembu Impiana, Menglembu, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Hasil serbuan itu, seorang lelaki berusia 40-an diberkas dan 65 ekor burung murai batu dewasa dan tujuh anak burung murai batu berharga RM662,000 dirampas.

Suspek dipercayai terbabit dengan aktiviti jual beli burung dilindungi itu selain pemburuan haram.

Sementara itu dalam kes berasingan, Perhilitan Kelantan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki berusia 20-an di Kampung Jubakar, Tumpat,

Kelantan, sebelum merampas 541 ekor burung murai batu.

Semua burung itu diletakkan di dalam 32 bakul plastik yang dimuatkan di dalam kenderaan dipandu suspek ketika ditahan.

Suspek disyaki menyeludup masuk hidupan liar itu daripada Thailand.

Semua kesalahan ini boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 63 (menjalanka­n urus niaga tanpa lesen), Seksyen 45 (3) (penandaan hidupan liar) dan Seksyen 61 kerana memburu serta memiliki hidupan liar tidak matang tanpa lesen mengikut Akta Perlindung­an Hidupan Liar 1972.

Sebanyak 678 ekor burung murai batu dirampas sejak Januari lalu

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia