Harian Metro

Kaki samun menyamar jadi penjawat awam

-

Kuala Lumpur: Enam individu tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun dan menyamar sebagai penjawat awam di sekitar ibu negara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua mereka yang ditahan, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun serta disyaki menyamar sebagai pegawai imigresen.

Beliau berkata, penahanan mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan satu laporan polis mengenai kejadian samun membabitka­n mangsa, dua lelaki warga asing yang mengalami kerugian telefon bimbit dan wang tunai anggaran RM300.

“Hasil risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat tangkapan terhadap satu lelaki warga tempatan pada kira-kira 10 pagi itu.

“Hasil daripada tangkapan pertama membawa kepada penahanan susulan iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta rampasan terhadap pelbagai alatan dan barang kes dipercayai hasil kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas adalah lapan telefon bimbit, dua parang panjang anggaran 60 sentimeter, lima komputer riba, dua senjata menyerupai pistol dan lain-lain barangan berharga.

“Turut dirampas adalah ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 32.4 gram dan pil disyaki dadah jenis Erimin 5 anggaran berat 0.7 gram.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta permohonan reman,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia