Harian Metro

Sayu adik tak dapat bersama

-

Bangi: “Sebaik dapat lagi tawaran menunaikan haji tahun ini, saya gembira, tetapi pada masa sama sangat sedih sebab rancangan asal nak pergi berdua dengan adik bongsu. Namun, Allah SWT lebih menyayangi­nya dan dia pergi selama-lamanya tahun lalu,” kata pesara guru, Rosnaini Yunus, 56.

Menurutnya, kali pertama mendapat tawaran pergi haji pada 2019 namun pada masa itu, adiknya, Rozana belum layak kerana umur belum mencecah 45 tahun.

Rosnaini yang akan berangkat ke Tanah Suci pada 26 Jun ini berkata, pada masa itu, memang sudah boleh pergi haji namun nekad menolak tawaran sebab berniat mahu menunaikan ibadah itu dengan adik kesayangan­nya.

“Pada tahun 2020 kami terpilih lagi, tetapi tiada rezeki ketika itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanak­an akibat pandemik Covid-19 yang berlanjuta­n hingga 2021 memang tiada tawaran.

“Sudah tertulis bukan rezeki adik nak tunai haji bersama saya, dia pergi selama-lamanya pada 27 Mac 2021 pada usia 46 tahun. Pada pagi itu sebelum adik meninggal dunia, dia mengemop lantai di dapur.

“Kemudian dia masuk bilik untuk berehat dan tiba-tiba saya dengar bunyi nafas. Apabila saya masuk biliknya, dia sudah tidak bernafas lagi,” katanya sedih ketika ditemui pada Taklimat Haji Perdana Musim 1443H 2022 Felda Travel di sini, semalam.

Bekas guru Sejarah dan Bahasa Melayu yang berkhidmat kali terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Semenyih itu antara 74 bakal haji kendalian Felda Travel yang akan berangkat ke Tanah Suci pada 26 Jun, 29 Jun dan 2 Julai depan.

Rosnaini mengakui rasa sedikit terkilan sebab sangat rapat dengan adiknya kerana masing-masing belum berkahwin dan tinggal di rumah yang sama di Semenyih selain sering berkongsi pandangan, kedua-duanya dalam bidang perguruan.

“Apa pun saya mendoakan semoga roh adik kesayangan dicucuri rahmat. Saya juga berdoa semoga saya sihat sepanjang berada di Makkah dan Madinah. Orang yang sihat pun risau, dengan keadaan kekurangan seperti saya lagilah ada kebimbanga­n,” katanya yang pernah menjalani pembedahan kaki kanan kerana penyakit polio.

Menurutnya, untuk menjadi pengiring sebagai pengganti arwah adiknya, dia akan ke Tanah Suci ditemani sepupunya Hasdaitull­aila Rahmat, 49.

Bagi bakal haji tiga beradik pula, Roziah Mokhtar, 60, Maziah, dan Hafsah, 52, menyifatka­n doa ibu Zaiton Mohd Dahan, 83, selama ini semoga mereka tiga beradik diizinkan tunai haji bersama dimakbulka­n Allah SWT.

Sementara itu, Pengerusi FGV Holdings Bhd, Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata, menerusi anak syarikat

Felda Travel Sdn Bhd (Felda Travel) mengambil inisiatif proaktif dengan menyediaka­n ustazah sebagai pembimbing ibadah khas buat jemaah haji wanita di Tanah Suci.

 ?? ?? ROSNAINI sebak ketika ditemui pada Taklimat Haji Perdana Musim 1443H 2022 Felda Travel, semalam.
ROSNAINI sebak ketika ditemui pada Taklimat Haji Perdana Musim 1443H 2022 Felda Travel, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia