Harian Metro

BERLATIH SUARA DALAM KERETA

Qari dari Perak dan qariah Selangor muncul juara tilawah

- Oleh Omar Ahmad am@hmetro.com.my

Biarpun kecundang pada majlis tilawah dan hafazan peringkat negeri ketika berusia 18 tahun, penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Darul Quran ini akhirnya dinobatkan johan qari pada Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Pusat Islam Iskandar di sini, malam kelmarin.

Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, 24, menganggap­nya sebagai rezeki yang tidak disangka memandangk­an ia adalah penyertaan sulungnya di MTHQK.

Aiman Ridhwan membawa pulang RM15,000, piala iringan dan tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji.

“Insya-Allah, saya akan berusaha lebih keras mempersiap­kan diri mewakili Malaysia ke saingan peringkat antarabang­sa yang dijadualka­n Oktober ini. Saya akan berguru dengan lebih ramai ustaz yang pakar dalam bidang ini termasuk hakim MTHQK. Taranum ini perlukan latihan yang kerap kerana perlu ada kematangan dari segi bacaan, tajwid dan berlagu. Saya yakin boleh melakukann­ya cuma perlu berlatih lebih giat untuk memperkema­skan bacaan,” katanya.

Sementara itu, johan qariah dari Selangor, Sofizah Mousin, 33, berkongsi perasaan yang sama dan berasa cukup bertuah dengan kemenangan berkenaan selepas tiga kali berada di pentas MTHQK.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, SS2 Petaling Jaya, Selangor itu berkata, dia tidak dapat membuat persiapan rapi ke pentas MTHQK kali ini kerana kedua-dua anak perempuann­ya berusia 14 bulan dan empat tahun sakit dua minggu sebelum majlis berlangsun­g.

“Alhamdulil­lah, dalam kesibukan menjaga anak-anak, saya dapat berlatih dan memperkema­skan bacaan sebelum bertanding. Disebabkan itu, saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul johan,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Sofizah berkata, setiap hari, dia akan membuat latihan suara ketika memandu kereta dalam perjalanan pergi dan pulang daripada kerja.

Sementara itu, bagi kategori hafazan menyaksika­n hafiz dari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail diumumkan johan kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir apabila memperoleh 97.25 peratus markah.

Manakala hafizah dari Johor, Nurjahidah Hadirah Alliar @ Ilyas dinobat johan dengan pungutan markah 94.51 peratus.

Mereka membawa pulang wang RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.

Kesemua pemenang bagi tilawah dan hafazan akan mewakili Malaysia di Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabang­sa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur pada 17 hingga 22 Oktober ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia