Harian Metro

‘Kami sedia sewa akaun’

Scammer aktif cari mangsa di media sosial

- Oleh Ahmad Hasbi am@hmetro.com.my

Sindiket penipuan kini makin berani mencari mangsa ‘keldai akaun’ secara terbuka dengan memuat naik iklan di media sosial.

Sindiket didakwa menawarkan upah lumayan bagi menyewa mana-mana akaun bank milik individu untuk digunakan bagi kegiatan jenayah.

Kebiasaann­ya individu kesempitan wang atau golongan muda yang tiada pekerjaan akan terpedaya dan terperangk­ap menjadi keldai akaun tanpa menyedari akaun mereka terbabit dengan aktiviti penipuan kewangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan Superinten­dan Aibee Ab Ghani berkata, hukuman terhadap ‘keldai akaun’ mungkin dianggap ringan namun kesan jangka panjang akan dirasai selepas golongan itu selesai menjalani hukuman.

“Ketika ini, sindiket penipuan kewangan semakin berani mencari mangsa ‘keldai akaun’ di media sosial. “Kebiasaann­ya golongan mangsa berusia 20 hingga 40-an yang terjebak dengan sindiket ini adalah dalam kalangan mereka yang tiada kerja tetap. Mereka dijanjikan wang dengan cara mudah,” katanya.

Aibee berkata, pihaknya sukar untuk membuktika­n siapa pemilik akaun media sosial jika hanya bersandark­an iklan disebarkan semata-mata. “Tindakan yang boleh dibuat adalah dengan membuat laporan kepada pengurusan media sosial terbabit,” katanya.

Menurutnya, bermula Januari hingga Mei lalu, JSJK Negeri Sembilan menahan seramai 565 suspek yang terbabit dengan jenayah komersial dan 343 atau 60 peratus daripadany­a membabitka­n keldai akaun.

“Keldai akaun juga boleh ditahan serta dituduh di mahkamah kerana terbabit dengan sindiket penipuan.

“Saya difahamkan akaun bank mereka akan dibekukan dan tidak dibenarkan untuk membuka akaun baru.

“Malangnya, sebahagian besar daripada mereka tidak sedar dijadikan keldai akaun,” katanya.

 ?? ?? ANTARA iklan mencari individu untuk menyewa akaun bagi kegiatan penipuan kewangan.
ANTARA iklan mencari individu untuk menyewa akaun bagi kegiatan penipuan kewangan.
 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia