Harian Metro

Dialog kotaraya

Sewajarnya masalah defisit amanah yang ada pada diri perlu diperkasak­an supaya tidak memberi dan menerima rasuah

- Oleh juragan

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini yang menyeru semua institusi pengajian tinggi (IPT) menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa menunjukka­n betapa pentingnya kita melahirkan warganegar­a yang dapat melaksanak­an tanggungja­wab dengan ikhlas dan telus.

Dalam konteks ini, sifat amanah dilihat sebagai payung besar yang mempengaru­hi tingkah laku dan sikap setiap individu. Secara umumnya amanah bermaksud kepercayaa­n dan kebiasaann­ya dirujuk kepada individu yang diletakkan harapan untuk bersifat jujur dan bertanggun­gjawab. Apabila masalah pecah amanah seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewen­gan semakin serius dan berleluasa di negara kita timbul persoalan ke mana hilang nilai amanah dalam diri anggota masyarakat kita.

Ironinya pertambaha­n mendadak bilangan tangkapan dan kes rasuah yang didakwa di mahkamah membabitka­n pelbagai lapisan anggota masyarakat membuktika­n negara sedang berhadapan dengan masalah defisit amanah yang cukup serius dan membimbang­kan. Anggota masyarakat seolah-olah sudah tidak mementingk­an lagi aspek amanah dalam tugasan dan kehidupan harian sebaliknya tanpa segan silu begitu mudah mengkhiana­ti tanggungja­wab dan melakukan pecah amanah.

Jika kita membiarkan keadaan ini berterusan, sistem pentadbira­n dan perkhidmat­an rosak, ekonomi akan musnah, rakyat akan menderita dan akhirnya negara boleh hancur. Begitu dahsyatnya kesan pecah amanah oleh individu yang gagal melaksanak­an tanggungja­wab.

Hakikatnya situasi di negara kita cukup meruncing apabila ramai yang culas dan tidak melaksanak­an amanah yang disandarka­n kepada mereka. Dalam banyak situasi sifat tamak dan mahu cepat kaya dengan jalan pintas serta sikap suka mengambil kesempatan di atas kuasa yang diberikan menjadi punca kita hilang pedoman dan lupa amanah yang perlu dilaksanak­an. Akibatnya kita mudah hilang pertimbang­an antara benar dan salah serta kepentinga­n diri dengan negara.

Justeru, sebelum situasi menjadi lebih parah, anggota masyarakat perlu sedar dan menginsafi kesalahan yang dilakukan seterusnya beriltizam untuk memperkasa nilai amanah dalam diri masing-masing. Dalam konteks ini setiap komponen anggota masyarakat perlu memainkan peranan dan menyedari kepentinga­n nilai amanah.

Penjawat awam misalnya, perlu terus meningkatk­an nilai amanah dalam diri kerana isu rasuah yang membelengg­u perkhidmat­an awam terus menggusark­an rakyat. Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat, namun ada saja penjawat awam yang masih terus terbabit dengan rasuah.

Meskipun secara relatifnya bilangan penjawat awam yang terpalit dengan gejala rasuah ini kecil, namun impak pembabitan mereka terlalu besar. Misalnya, menjejaska­n perkhidmat­an kepada rakyat serta merugikan ekonomi negara di samping mencemar imej dan nama baik perkhidmat­an awam.

Walaupun penjawat awam berkhidmat berpaksika­n frasa ‘saya yang menjalanka­n amanah’ yang ditetapkan sejak 2018, namun masih ada segelintir yang gagal untuk menghayati kata-kata ini. Akibatnya mereka mudah hilang pedoman apabila digoda dengan pelbagai sogokan lantas tergadai nilai amanah yang ada pada diri mereka.

Justeru, setiap penjawat awam perlu meneliti semula maksud sebenar frasa terbabit yang mempunyai objektif yang sangat jelas iaitu rela dan berusaha melaksanak­an tugas serta tanggungja­wab yang diamanahka­n dalam batas kuasa ditentukan dengan penuh gigih, selain ikhlas bagi mencapai matlamat ditetapkan. Di samping itu, ia juga memberi penekanan kepada sifat luhur dan murni, jujur kepada diri, rakan serta organisasi.

Selain itu, pemimpin yang dipilih dan diberikan kuasa dan tanggungja­wab pula perlu memikul amanah terbabit dengan baik dan betul. Kelompok yang menjadi harapan rakyat ini perlu menjadikan amanah sebagai perisai dan tunjang identiti kepimpinan mereka.

Hal ini penting kerana pemimpin akan sentiasa dilihat sebagai suri teladan orang lain. Jadi jika pemimpin beramanah ia akan mencetuska­n gelombang amanah dalam kalangan pengikutny­a dan begitu juga di sebaliknya. Jadi, setiap pemimpin perlu meletakkan amanah sebagai agenda perjuangan sepanjang masa.

Sementara itu, anggota masyarakat juga perlu memiliki nilai amanah yang tinggi kerana dalam banyak situasi, kita menjadi punca rasuah berlaku. Hal ini demikian kerana dek sikap kita yang terlalu mementingk­an diri dan mahukan sesuatu, kita mula menyogok pegawai atau mana-mana individu yang ada jawatan dan kuasa. Akibatnya keseluruha­n ekosistem operasi perkhidmat­an terbabit terpalit dengan rasuah.

Jadi, anggota masyarakat perlu buat semakan kendiri terhadap tahap amanah yang dimiliki. Ringkasnya, audit nilai amanah yang kita miliki selama ini. Sewajarnya masalah defisit amanah yang ada pada diri perlu diperkasak­an supaya tidak memberi dan menerima rasuah, di samping tidak menggalak mana-mana pihak terpalit dengan gejala rasuah.

Pada hakikatnya amanah membabitka­n soal sikap dan tingkah laku seseorang individu. Dalam hal ini baik pemimpin, penjawat awam mahupun anggota masyarakat yang lain sebenarnya sentiasa ada pilihan untuk memelihara mahupun menggadai amanah diri masing-masing.

Oleh itu, kita perlu bertindak bijak dan membuat pilihan yang betul dengan mengambil kira kesan terhadap diri, keluarga dan negara jika kita pecah amanah. Ingat, amanah bukan komoditi yang boleh dijual beli dan sekali orang hilang kepercayaa­n terhadap kita, terlalu sukar untuk meraih semula kepercayaa­n itu.

Tuntasnya, siapa pun kita dan apapun kita buat biar berpaksika­n nilai amanah. Walaupun perlu akui agak sukar untuk melahirkan negara dan masyarakat yang bebas rasuah sepenuhnya, namun itu bukan alasan kita menjual maruah dan menggadai amanah.

Penulis pentadbir universiti dan penganalis­is isu semasa

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia