Penjara baharu bakal dibina di Kelantan
Kota Bharu: Penjara baharu bakal dibina di negeri ini, sekali gus mampu memuatkan seramai 3,000 penghuni dengan jangkaan siap sepenuhnya pada 2027.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, mengikut perancangan lokasi yang dipilih adalah di Ketereh selain bakal menjadi penjara terbesar dan moden di negeri itu.
Katanya, proses untuk menyelesaikan isu tanah sedang dilakukan sebelum pembinaan dilaksanakan pada hujung tahun hadapan dan dijangka mengambil masa selama beberapa tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
“Pelaksanaan cadangan terbabit selaras dengan keperluan pemulihan banduan dan pengkategorian penjara di samping mengurangkan kesesakan yang sedia ada di penjara Zon Timur.
“Oleh itu, pertambahan anggota dan kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia juga akan dilakukan bagi menampung keperluan petugas di lokasi baharu bagi memastikan pengurusan penjara sentiasa terkawal. “Selain di Kelantan, beberapa negeri lain turut menerima pembangunan sama dalam pembinaan penjara baharu termasuk di Lahad Datu, Sabah yang bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Peringkat Zon Timur di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) Abd Kadir Rais dan Pengarah Pengurusan Banduan Ajidin Salleh.
“Negeri lain turut menerima pembangunan sama Mohd Sayuthi