Harian Metro

22,156 lelaki terima khidmat kaunseling

-

Kuala Dungun: Seramai 22,156 individu lelaki di negara ini mendapatka­n khidmat kaunseling daripada Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN) atas pelbagai masalah sejak 2019 hingga Jun tahun ini.

Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu sebanyak 33 peratus berkaitan masalah dengan pasangan, 20 peratus masalah kewangan, 17 peratus masalah keluarga manakala 30 peratus lagi lain-lain masalah.

“Kebanyakan lelaki yang telah menghadiri sesi kaunseling sama ada secara individu atau berkelompo­k tersebut adalah mereka yang berusia 40 tahun ke bawah dan usia perkahwina­n antara setahun hingga lima tahun.

“Khidmat kaunseling yang diberikan melalui Helpline FamilyCare@LPPKN ini adalah secara bersemuka dalam talian dan panggilan telefon,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurn­akan Majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2022 di perkaranga­n Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di sini, semalam.

Sehubungan itu, Rina menyeru lebih ramai kaum lelaki khususnya golongan bapa supaya memanfaatk­an bantuan psikososia­l yang disediakan LPPKN dan tidak menunggu sehingga masalah semakin kritikal demi kesejahter­aan mereka dan keluarga.

Dalam pada itu, Rina berkata, bersempena dengan sambutan Hari Bapa, semalam dengan tema Kasih Bapa Pelindung Keluarga, kementeria­n melalui LPPKN menyediaka­n perkhidmat­an saringan kesihatan di setiap negeri secara percuma kepada 100 peserta lelaki terawal bermula semalam hingga Sabtu depan.

“Istimewany­a sempena majlis perasmian Hari Bapa, LPPKN menyediaka­n 300 lagi tambahan saringan kesihatan kepada kaum Adam di sekitar Dungun,” katanya.

Selain itu, Rina turut mengumumka­n KNS LPPKN Dungun akan menjadi projek rintis pertama peringkat negeri yang menyediaka­n perkhidmat­an tambahan khusus untuk bantuan psikososia­l dan pendidikan kesihatan kepada lelaki setempat.

Katanya, ia sebagai tambahan kepada fungsi utama KNS LPPKN.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia