Harian Metro

BUDAK 4 TAHUN POSITIF DADAH

Kanak-kanak kritikal selepas didapati ada kandungan methampeth­amine di dalam badannya

- Oleh Siti Rohana Idris am@hmetro.com.my

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kini berada dalam keadaan kritikal selepas doktor menjumpai dadah jenis methampeth­amine di dalam badannya. Polis yang masih menyiasat cara dadah masuk ke badan mangsa bertindak menahan bapa saudara budak itu untuk membantu siasatan, lapor Siti Rohana Idris

‘ Siasatan mendapati kanak-kanak lelaki berkenaan dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat dan belum dapat dipastikan sama ada mangsa diberikan dadah”

Muhamad Zaki

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, sejak kelmarin berada dalam keadaan kritikal berikutan terdapat kandungan dadah jenis methampeth­amine dalam badannya.

Mangsa yang menetap di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai sebelum itu dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) pada jam 5 pagi kelmarin oleh ibunya untuk menerima rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kepada pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan pemeriksaa­n mendapati di dalam badan kanak-kanak itu terdapat kandungan dadah methampeth­amine.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak lelaki itu dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat dan belum dapat dipastikan sama ada mangsa diberikan dadah atau dibiarkan terdedah kepada bahan larangan itu sebelum (mungkin mangsa) memasukkan­nya dalam badan.

“Susulan itu, bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan jam 10 malam tadi (kelmarin) dan soal siasat yang dibuat, suspek mengaku membawa anak saudaranya ke suatu tempat tapi dia menafikan ada memberinya dadah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Terdahulu, Muhamad Zaki merasmikan Perhimpuna­n Bulanan serta menyampaik­an surat penghargaa­n kepada pegawai dan anggota yang cemerlang dalam penugasan.

Muhamad Zaki berkata, mangsa kemudian dirujuk ke HPRZ II dan keadaannya dilaporkan masih kritikal.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap bapa saudara kanak-kanak itu yang juga buruh didapati positif dadah jenis methampeth­amine selain turut memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya memaklumka­n suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia