Harian Metro

Drebar lori mabuk tak mengaku salah

-

Kampar: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabka­n seorang lelaki maut pada 5 Jun lalu.

Tertuduh, K Suntharali­ngam, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret T R Kavita.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang memandu Honda Civic didapati berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabka­n kematian seorang lelaki penjawat awam, Mohd Nazri Sham Aring, 42.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar jam 11.45 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(A) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang boleh dipenjara tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya M Esther Jacyntha manakala tertuduh diwakili Baldip Singh.

Esther menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000, bagaimanap­un Baldip memohon jumlah itu dikurangka­n berikutan anak guamnya yang sudah berkahwin dan isterinya sedang sarat mengandung.

Mahkamah kemudianny­a membenarka­n wang ikat jamin sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan tidak dibenarkan keluar dari negeri tanpa kebenaran Ketua Polis Negeri.

Mahkamah turut menetapkan 13 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 ?? ?? TERTUDUH di luar Mahkamah Majistret Kampar, semalam.
TERTUDUH di luar Mahkamah Majistret Kampar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia