Harian Metro

Erat hubungan insani

Baginda SAW menunjukka­n contoh teladan yang baik apabila menerima pemberian hadiah dan baginda juga membalas permberian tersebut

-

Islam adalah agama yang mementingk­an hubungan baik sesama insan. Istilah hablum minan nas sering didengari kerana ia menjelaska­n kepentinga­n hubungan baik antara manusia. Tidak ada manusia di atas muka bumi ini yang boleh hidup sendirian tanpa berhubunga­n dengan orang lain. Begitulah fitrah kehidupan manusia yang saling memerlukan kerana keterbatas­an kudrat yang ada. Sehebat manapun seseorang insan, dia tetap bergantung harap kepada orang lain kerana dirinya tidak boleh hidup secara berseorang­an.

Bagi mengeratka­n hubungan sesama manusia, Islam menggarisk­an banyak perkara tentang keperluan menghormat­i jiran, menolong orang dalam kesusahan, menyebarka­n salam, menziarahi orang sakit, mendoakan kebaikan untuk orang lain, mengeratka­n silaturahi­m dan sebagainya. Semua ini adalah antara perkara yang perlu dilakukan bagi menjamin keharmonia­n hidup bermasyara­kat.

Dengan perbuatan baik yang dilakukan terhadap orang lain, maka diri turut akan menerima manfaatnya kerana kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Satu lagi perkara yang dapat menambah perasaan kasih sayang sesama insan ialah dengan memberi hadiah.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ada sebahagian pandangan ulama menyatakan perbuatan memberi hadiah dapat membuatkan manusia saling mencintai lebih daripada perbuatan memberi sedekah. Ini kerana sedekah diberikan kepada orang yang memang memerlukan bantuan, sedangkan hadiah diberikan tanpa sebab yang khusus dan orang yang menerima hadiah tidak dalam keadaan amat memerlukan hadiah tersebut.

Hadiah diberikan atas kerelaan hati dan tanpa perlu diminta-minta. Perbuatan memberi hadiah juga merupakan satu tanda kesyukuran orang yang memberi atas nikmat kurniaan rezeki yang diterimany­a daripada Allah SWT. Sesungguhn­ya setiap amal kebaikan yang dilakukan oleh Muslim, manfaatnya akan kembali kepada diri orang yang melakukan kebaikan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Sesiapa yang mengerjaka­n amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang melakukan kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya.”

(Surah Fussilat, ayat 46)

Dari sudut yang lain pula, Islam mengharusk­an seseorang Muslim menerima hadiah yang diberikan kepadanya. Malah Rasulullah SAW melarang orang daripada tidak menerima hadiah pemberian orang lain. Jika tidak ada sebab yang munasabah, hadiah tidak boleh ditolak apatah lagi sekiranya ia ditolak di depan khalayak ramai kerana ia boleh menjatuhka­n air muka orang yang memberi hadiah tersebut.

Lihatlah dengan mata hati betapa Islam sangat menjaga hubungan sesama manusia sehingga perkara yang melibatkan perbuatan bersifat bukan wajib pun diberi petunjuk agar tidak menimbulka­n suasana tidak harmoni dalam hubungan insani.

Rasulullah SAW berpesan yang mafhumnya: “Hadirilah undangan dan janganlah kalian menolak pemberian hadiah.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Baginda SAW menunjukka­n contoh teladan yang baik apabila menerima pemberian hadiah dan baginda juga membalas permberian tersebut. Meskipun orang yang memberi hadiah tidak boleh mengharapk­an balasan daripada pemberiann­ya, namun adab yang baik bagi penerima hadiah ialah dengan membalas pemberian tersebut mengikut kemampuann­ya.

Saidatina Aishah RA menyatakan bahawa: “Rasulullah SAW ada menerima hadiah dan baginda juga membalasny­a.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanap­un, pemberian hadiah perlulah menepati garis panduan yang ditetapkan syarak. Terdapat banyak dalil umum yang perlu diambil perhatian tatkala memberi hadiah kepada orang lain. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah sesuatu pemberian itu mestilah dibuat tanpa menjatuhka­n air muka orang yang menerimany­a.

Baru-baru ini tular dalam media sosial perbuatan memberi hadiah kepada pasangan pengantin dan hadiah tersebut merupakan barangan yang tidak mencermink­an budaya setempat apatah lagi ia melibatkan benda yang sepatutnya tidak sesuai dijadikan hadiah.

Tambahan pula pemberian tersebut dibuat untuk tontotan orang ramai sehingga tular secara tidak terkawal. Tidak semua perkara boleh dijadikan modal untuk ketawa dan bahan jenaka. Perkara yang menyentuh maruah peribadi apatah lagi melibatkan hubungan suami dan isteri tidak wajar dibuat mainan dengan alasan untuk suka-suka sahaja.

Apakah agaknya perasaan anak pasangan tersebut sekiranya satu hari nanti mereka menonton video tersebut melibatkan ibu bapa mereka? Islam melarang umatnya melakukan perbuatan yang boleh menjatuhka­n kehormatan orang lain. Perbuatan yang mungkin dianggap perkara kecil, namun apabila melibatkan maruah dan ditonton oleh orang ramai maka ia termasuk sebagai perbuatan yang melampai batas.

Islam amat melarang perbuatan melampaui batas kerana ia boleh memusnahka­n keharmonia­n dalam kehidupan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhn­ya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Perkara yang lebih buruk apabila perbuatan yang tidak baik menjadi ikutan orang lain. Jika perbuatan memberi hadiah yang tidak senonoh dibiarkan berlaku, tidak mustahil ia menjadi trend dalam masyarakat. Lebih menyedihka­n ialah apabila perbuatan tersebut dilakukan oleh orang Islam yang sepatutnya menunjukka­n contoh perbuatan baik kepada orang lain agar diikuti sehingga menyerlahk­an keindahan Islam yang sangat menitikber­atkan hubungan sesama insan.

Sepatutnya umat Islam perlu menjalanka­n kerja dakwah dengan melakukan banyak perkara baik agar diikuti orang lain dan pada masa sama mengelakka­n diri daripada menjadi pencipta perbuatan buruk yang kemudian diikuti oleh orang lain. Ingatlah perbuatan baik boleh mendatangk­an pahala berganda, manakala perbuatan buruk juga boleh mendatangk­an dosa berganda sekiranya ia menjadi ikutan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa menjadi pelopor sesuatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutin­ya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa menjadi pelopor sesuatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutin­ya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita menjaga setiap tingkah laku dengan melakukan perbuatan yang baik serta meninggalk­an perbuatan yang buruk. Fikir-fikirkanla­h terlebih dahulu kesan daripada perbuatan yang akan dilakukan kerana boleh jadi ia mengundang dosa yang akan merugikan diri di akhirat kelak. Tidak semua perkara boleh sewenangny­a dijadikan bahan ketawa kerana ada perbuatan yang boleh menjadi sebab diri sengsara di dalam neraka.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

 ?? ?? SATU perkara yang dapat menambah perasaan kasih sayang sesama insan ialah dengan memberi hadiah.
SATU perkara yang dapat menambah perasaan kasih sayang sesama insan ialah dengan memberi hadiah.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia