Perluas khidmat
Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang memperluaskan perkhidmatan sakit tuan di Klinik Nur Sejahtera (KNS) di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sebelum ini ia dikhususkan kepada golongan wanita untuk mendapatkan perkhidmatan sakit puan dan semalam kementerian melancarkan projek rintis di peringkat negeri di Dungun, Terengganu bagi perkhidmatan saringan kesejahteraan kesihatan lelaki.
Menurutnya, projek rintis ini bertujuan membantu golongan lelaki berhadapan masalah kesihatan sakit tuan selain mendapatkan maklum balas sebelum diperluaskan di 47 KNS seluruh negara.
Katanya, kebanyakan golongan lelaki malu menceritakan masalah penyakit dihadapi mereka seperti hyperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat bukan kanser.
“Pada pelancaran projek rintis semalam ada di kalangan lelaki yang tampil membuat pemeriksaan dan menceritakan masalah kesihatan,” katanya.