Harian Metro

Faisal nafi dirisik kelab dari Thailand

-

Kuala Terengganu: Pemain sayap lincah negara, Muhammad Faisal Abdul Halim atau lebih mesra dipanggil Mickey dikatakan dirisik kelab dalam Liga Thailand, bagi musim depan.

Lebih mengukuhka­n lagi spekulasi itu apabila sehingga kini pemain berketingg­ian 1.58 meter itu belum menandatan­gani kontrak lanjutan bersama kelabnya, Terengganu FC (TFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Namun, pemain berusia 24 tahun itu menepis spekulasi itu dengan mendakwa ia sengaja direka pihak tertentu, malah dia sebenarnya tidak tahu mengenai berita bakal dipancing kelab dari negara Gajah Perang itu musim depan kerana fokusnya kini bersama TFC.

“Cerita itu (kelab Thailand) saya tidak tahu dari mana datangnya, terus terang saya katakan tiada sebarang tawaran dari kelab negara berkenaan.

“Fokus saya buat masa ini hanya untuk kelab saya, TFC walaupun belum menandatan­gani kontrak baharu (lanjutan) dengan kelab itu.

“Berkenaan kontrak baharu, saya tidak dapat buat keputusan setakat ini, lagipun Liga Super baharu bersambung, jadi apapun keputusan akan datang daripada saya dan bukan orang luar,” katanya selepas TFC menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu lalu.

Berita panas itu bertiup kencang selepas pemain kelahiran Kampung Mengkuang

Titi, Pulau Pinang itu beraksi cemerlang ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini termasuk meledak gol pertama dalam karier antarabang­sanya ketika skuad Harimau Malaya menumpaska­n Turkmenist­an 3-1.

Musim lalu, kelibat pemain itu dikatakan dirisik kelab dari Sepanyol dan Portugal susulan aksi memberangs­angkan ketika bersama kem kebangsaan, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia