Harian Metro

Keterangan waktu sebenar pembunuhan bercanggah

-

Shah Alam: Percanggah­an keterangan berkaitan waktu sebenar pembunuhan menjadi salah satu sebab hakim melepas dan membebaska­n Samirah Muzaffar bersama dua anaknya yang didakwa membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan, Samirah bersama dua remaja itu didakwa membunuh Nazrin dalam kejadian pada jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018 namun bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan ke-46, Dr Siew Sheue Feng.

Peguam Samirah dan dua remaja itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, saksi terbabit sebaliknya mendakwa kejadian berlaku pada jam 11 pagi hingga 1 tengah hari pada 14 Jun 2018, iaitu sehari sebelum sambutan Aidilfitri.

“Saksi memberi keterangan bahawa pembunuhan berlaku antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari pada 14 Jun 2018, bukan seperti dalam kertas pertuduhan.

“Merujuk masa pembunuhan dinyatakan saksi, Samirah dan dua remaja itu tidak boleh ditempatka­n pada masa itu.

“Terlalu banyak benda tidak menentu. Pihak pendakwaan tidak boleh membuktika­n dengan kukuh kes ini iaitu masa pembunuhan seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Shah Alam, di sini, semalam.

Mengenai proses rayuan, Muhammad Shafee berkata, ahli keluarga Nazrin tidak boleh berbuat demikian, sebaliknya ia hanya boleh dilakukan pihak pendakwaan di peringkat Mahkamah Rayuan seterusnya Mahkamah Persekutua­n.

“Kalau ada rayuan daripada pihak pendakwaan, saya rasa kita diberi peluang sekali lagi untuk buktikan ciri-ciri dan inti pati pertuduhan yang boleh diketepika­n mahkamah.

“Kita andaikan ada rayuan dibuat. Keputusan akan dibuat pihak berkaitan (Jabatan Peguam Negara) dan mereka akan berikan alasan kenapa buat demikian,” katanya.

Ditanya insiden kekecohan membabitka­n peguam dan pengamal media, Muhammad Shafee berkata, mengikut pengetahua­nnya, seorang jurugambar terhentak kameranya pada kepala peguam, S Suresh hingga meninggalk­an kesan darah.

“Seorang jurugambar sama ada sengaja atau tidak sengaja terhentak (kamera) pada kepala peguam. Ada dua ‘lubang’ (kesan dihentak) yang amat jelas, tapi nasib baik dia okey.

“Oleh sebab itu, saya minta polis mengiring peguam itu keluar supaya perkara ini tidak berulang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia