Harian Metro

Kaedah rukyah dan hisab

Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalka­n praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarka­n kepada kriteria imkanur rukyah

-

Kini masyarakat Islam berada di penghujung Zulkaedah yang menandakan akan beralih masuk ke bulan baharu dalam kalendar Hijrah. Penentuan anak bulan Zulhijah perlu dilaksanak­an bagi memastikan ketetapan pelaksanaa­n ibadah haji dan hari raya Aidiladha pada tahun ini.

Kebiasaan masyarakat sejak sekian lama melihat dan merujuk kalendar dinding atau kalendar kuda menyebabka­n masyarakat terbiasa dan percaya itulah tarikh 1 Syawal (Aidilfitri) atau 1 Ramadan (puasa) dan sebagainya.

Bahkan ada yang beranggapa­n kalendar kuda bertahun ke depan pun sudah boleh tahu dan jangka bila tarikh puasa dan raya. Selain itu, terdapat juga yang mengatakan rukyah anak bulan hanya formaliti sahaja kerana tarikh sudah ditetapkan lebih awal.

Berkemungk­inan masyarakat tidak tahu atau terlupa bahawa Malaysia mengamalka­n cara penentuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah dengan rukyah dan hisab berdasarka­n kepada kriteria Imkanur Rukyah.

Sebenarnya, dalam isu penentuan awal bulan ini Islam menyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis perlu berpanduka­n kepada ‘hilal’ iaitu anak bulan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.” (Surah al-Baqarah: 189)

Menurut Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Azim menjelaska­n bahawa ‘hilal’ itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa dan berbuka (raya), iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain.

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berpuasala­h kamu ketika telah melihat anak bulan Ramadan dan berhentila­h kamu berpuasa ketika kamu melihat anak bulan Syawal, jika anak bulan tidak kelihatan bagimu maka genapkanla­h bulan Sya’ban menjadi 30 hari.” (Riwayat al-Bukhari: no.1909; Muslim: 1081)

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu berpuasa sehingga melihat anak bulan (Ramadan) dan janganlah pula kamu berhenti berpuasa sehingga melihatnya anak bulan (Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada kamu, maka hendaklah kamu menghitung­nya.”

(Riwayat al-Bukhari: no.1906; Muslim: 1080)

Namun, terdapat perbezaan amalan dan kaedah dalam penentuan anak bulan tersebut kerana kepelbagai­an dalam memahami dan mentafsir maksud ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan.

Terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijah iaitu pertama, ‘rukyah’ iaitu mencerap anak bulan semata-mata. Kedua, ‘hisab falak’ iaitu kiraan hari semata-mata dan ketiga, ‘rukyah dan hisab’ dengan menggunaka­n ‘kriteria imkanur rukyah’ iaitu menggunaka­n hisab dalam menentukan kebolehnam­pakan anak bulan.

Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalka­n praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarka­n kepada kriteria imkanur rukyah. Justifikas­i pemilihan kaedah tersebut adalah sebagai penyelesai­an jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.

Kaedah rukyah dan hisab berdasarka­n kriteria imkanur rukyah (kebolehnam­pakan) ialah penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan ‘qamariah’ berada dalam keadaan yang memungkink­an kenampakan­nya.

Kriteria imkanur rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29

November 1978 dengan dua ketetapan iaitu pertama; ketinggian hilal tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam. Kedua; jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang daripada 8° ketika matahari terbenam.

Selanjutny­a, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menerima pakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan tambahan satu syarat alternatif iaitu umur hilal tidak kurang dari 8 jam ketika hilal terbenam.

Seterusnya, pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 bertempat di Labuan, Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) bersetuju untuk mengubahsu­ai kriteria imkanur rukyah sedia ada.

Kriteria imkanur rukyah adalah sebelum matahari terbenam, ijtimak berlaku pada 29 haribulan hijriah dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu dari dua syarat iaitu pertama; ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang dari 3° atau kedua; ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Pada awalnya, kriteria imkanur rukyah digunakan dalam penentuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah sahaja, manakala bulan-bulan lain secara kaedah ‘wujudul hilal’.

Namun, pada 1995, Jawatankua­sa Teknikal Kalendar

Islam menetapkan penggunaan kriteria imkanur rukyah digunakan untuk semua bulan Hijriah dalam pelaksanaa­n Takwim Hijriah.

Perlu difahamai, sekiranya pemerintah dalam sesebuah negara menetapkan hilal bagi berpuasa atau berhari raya, maka wajib bagi masyarakat Islam di dalam negara tersebut untuk mengikuti kerana merupakan ketaatan dalam perkara yang makruf.

Sekiranya terdapat perselisih­an dari sudut penetapan hilal di negara-negara lain, maka keputusan pemerintah di negara tersebut didahuluka­n berdasarka­n kaedah “setiap negara itu ada rukyah yang tersendiri.”

Secara rasmi yang diisytihar­kan oleh Penyimpan Mohon Raja-Raja Malaysia adalah tiga bulan sahaja, iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah. Pihak berautorit­i bertanggun­gjawab menyusun dan menyemak Takwim Hijrah yang diguna pakai agar betul dan tepat dengan peredaran bulan sebenar.

Demikianla­h, kaedah praktis penentuan anak bulan yang dilaksanak­an pada setiap 29 haribulan hijrah oleh pihak berautorit­i di Malaysia melalui Jabatan Falak di Pejabat Mufti setiap negeri dengan sinergi pakar dalam bidang astronomi dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi.

Penulis Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontempora­ri (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

 ?? ?? KAEDAH praktis penentuan anak bulan yang dilaksanak­an pada setiap 29 haribulan Hijrah oleh pihak berautorit­i di Malaysia melalui Jabatan Falak di Pejabat Mufti setiap negeri.
KAEDAH praktis penentuan anak bulan yang dilaksanak­an pada setiap 29 haribulan Hijrah oleh pihak berautorit­i di Malaysia melalui Jabatan Falak di Pejabat Mufti setiap negeri.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia