Harian Metro

Buru tiga mata bertemu Penang FC

- Malik Muhamad dan Siti Aminah Mohd Yusof sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut pemainnya mengekalka­n aksi konsisten dalam misi memburu tiga mata berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.

Jurulatih muda meningkat naik itu berkata, prestasi semasa dan komitmen tinggi pemain ketika ini terutama selepas menumbangk­an Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Sabtu lalu sekali gus memberi keyakinan kepada skuad Penyu untuk meneruskan rentak kemenangan.

Bagaimanap­un Nafuzi menasihati anak buahnya agar tidak mendabik dada dan cepat berpuas hati, sebaliknya terus berusaha bagi mengelak 'dijerat' skuad Harimau Kumbang itu.

"Walaupun bertemu pasukan di tangga tercorot liga, saya sudah pesan kepada pemain agar tidak mengambil mudah kerana semua pasukan ada kelebihan dan kekuatanny­a yang tersendiri.

"Namun buat pemain, saya harapkan mereka mampu memperagak­an aksi terbaik sehingga minit terakhir perlawanan dalam misi meneruskan momentum kemenangan keempat berturuttu­rut biarpun sedar bukan tugas mudah bermain di tempat lawan.

"Saya juga harapkan semua pemain perlu ada keyakinan diri dengan mengikut perancanga­n yang diatur selain menuntut barisan penyerang bijak menghidu peluang untuk menjaringk­an gol," katanya yang mengakui moral anak buahnya kini berada pada tahap terbaik.

Ketika ditanya mengenai tonggak import yang bakal diturunkan, Nafuzi tidak mahu terburu-buru, sebaliknya akan menyenarai­kannya selepas melihat prestasi dan tahap kecergasan semasa mereka.

"Begitu juga dengan pemain tempatan, saya meletakkan harapan tinggi pemain yang diturunkan mampu melaksanak­an tugas mengikut strategi yang dirancang dalam misi mengutip tiga mata," katanya.

Sementara itu di Pulau Pinang, penyerang import Penang FC, Anselmo Arruda da Silva disahkan mengalami keretakan tulang pipi kanan ketika aksi Liga Super menentang Petaling Jaya City FC Sabtu lalu.

Ketua jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan berkata, pemain yang dikenali sebagai Casagrande itu selamat menjalani pembedahan petang kelmarin dan kini sedang dalam proses pemulihan.

"Casagrande tidak dapat diturunkan esok (hari ini). Kecederaan­nya dijangka mengambil masa lebih sebulan untuk pulih," katanya ringkas ketika dihubungi di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia