Harian Metro

Sumbang Vellfire urus jenazah

Jeyendran tiup semangat anggota PSSK meneruskan khidmat pengurusan jenazah secara percuma

- Oleh Mahaizura Abd Malik mahaizura@ hmetro.com.my

Semangat Keluarga Malaysia diterjemah­kan seorang usahawan sebuah syarikat perkapalan dengan baik apabila beliau menyumbang kenderaan eksekutif miliknya untuk kegunaan menguruska­n jenazah Muslim.

Dermawan berkenaan yang juga pengasas dan pemilik syarikat Maritime Networks Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyendran, 42, berkata, dia terbuka hati menyumbang Toyota Vellfire miliknya untuk digunakan Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih (PSSK) selepas menyedari mereka menguruska­n jenazah secara percuma.

“Saya fikirkan kita ini masyarakat Malaysia satu keluarga dan berbilang kaum, jadi tidak salah kalau saya hendak membantu apa yang saya mampu.

“Niat saya ikhlas membantu tidak mengira warna kulit apatah lagi dari kecil saya tinggal dan biasa bergaul dengan orang Melayu, jadi kenalah tolong-menolong.

“Kebetulan saya dapat tahu PSSK buat pengurusan jenazah secara percuma apabila berjumpa mereka tiga bulan lalu, jadi ia membuatkan saya terharu kerana bukan mudah orang hendak buat secara percuma kerana kosnya bukan murah.

“Saya harap ini akan meringanka­n lagi kos ditanggung PSSK dan beban waris yang kurang berkemampu­an,” katanya selepas sesi penyerahan Vellfire miliknya kepada Pengasas Bersama PSSK Shahrol Mohamad di bilik pengurusan jenazah PSSK, Taman Medan, di sini, baru-baru ini.

Jeyendran berkata, kesempitan hidup dilalui keluargany­a dahulu banyak mendorong dirinya membabitka­n diri dalam kerja kebajikan tanpa mengira warna kulit.

“Bapa saya seorang pemandu kren dan kami duduk di flat. Semasa hayatnya sehingga meninggal dunia, dia tidak sempat merasa apa yang saya ada hari ini.

“Waktu dia meninggal dunia pun, pak cik saya yang membantu menguruska­n pengebumia­nnya kerana saya tiada duit.

“Jadi itulah sebabnya apabila saya diberikan rezeki lebih, saya mahu berkongsi rezeki tanpa mengira bangsa kerana saya tidak mahu orang lain merasa kesusahan yang kami lalui dahulu,” katanya.

Menurutnya, sejak 10 tahun lalu, dia aktif membantu golongan tidak berkemampu­an termasuk aspek menguruska­n kematian keluarga mereka.

“Saya bantu mereka yang susah uruskan kematian keluarga tanpa mengira India, Melayu atau Cina sejak 10 tahun lalu.

“Selain itu, sejak lebih tiga tahun lalu, saya juga menguruska­n penghantar­an abu mayat kaum India ke laut secara percuma dengan menggunaka­n bot yang saya beli sendiri kerana sedar cajnya mahal antara RM180 hingga RM200.

“Ketika pandemik, saya turut menyumbang enam kontena di enam hospital seluruh negara untuk kegunaan meletakkan jasad pesakit Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Shahrol berkata, sumbangan terbabit tepat pada masanya berikutan tiga minggu lalu, dia meluahkan hasrat mencari kenderaan eksekutif untuk membawa jenazah serta waris mereka.

“Saya bersyukur Tuhan menghadirk­an insan tanpa mengira bangsa membantu dalam melancarka­n pengurusan jenazah sehingga terdetik hati untuk menyumbang kenderaan kepada PSSK,” katanya.

 ?? ?? JEYENDRAN (kiri) menyerahka­n Vellfire miliknya untuk dijadikan van jenazah kepada PSSK di Taman Medan, Petaling Jaya.
JEYENDRAN (kiri) menyerahka­n Vellfire miliknya untuk dijadikan van jenazah kepada PSSK di Taman Medan, Petaling Jaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia