Harian Metro

Kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielak

-

Kuala Lumpur: Kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielakkan kerana kos penjanaan elektrik meningkat dengan mendadak dan pantas tetapi keperluan golongan tertentu harus dipertimba­ngkan, kata ahli ekonomi.

Kenaikan tarif tidak dapat dielakkan disebabkan permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global menyebabka­n harga tenaga global melambung tinggi.

Di peringkat serantau, Singapura, Indonesia, India dan Australia menyemak semula tarif sebagai tindak balas kepada ketidakten­tuan dalam pasaran tenaga, perang di Ukraine, loji arang batu yang berusia, sekatan perjalanan akibat Covid-19 dan musim sejuk semuanya adalah faktor kepada permintaan yang lebih tinggi untuk tenaga dan Malaysia turut terkesan daripada situasi yang berpanjang­an itu.

Tindakan yang berkesan atau beransur-ansur harus dilaksanak­an untuk memastikan golongan berpendapa­tan rendah serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang sudah merasai tekanan akibat kenaikan kos tidak akan mengalami kejutan sekali lagi sekiranya tarif elektrik tempatan disemak semula.

Penganalis­is Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar tarif akan lebih tinggi untuk isi rumah memandangk­an Tenaga Nasional Bhd (TNB) menghadapi kos pengeluara­n tenaga tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.

Pada akhir tahun lepas, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM846) satu tan, meningkat daripada sekitar AS$50 setan pada pertengaha­n tahun 2020; menjelang akhir Mei 2022, harga arang batu meningkat kepada AS$434 satu tan dengan arang batu menyumbang 59 peratus daripada sumber utama penjanaan elektrik Malaysia.

“(TNB) perlu memastikan perniagaan itu mampan (sebagai entiti korporat) tetapi saya berharap akan ada beberapa bentuk subsidi disasarkan untuk kumpulan 40 terbawah (B40) berhubung tarif elektrik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia