Harian Metro

Tekad pamer aksi terbaik

-

Alor Setar: Penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah Wanja bertekad memberi aksi penyudah terbaiknya buat Sang Kenari pada saingan Piala AFC di Bali, Indonesia bermula esok.

Reputasiny­a sebagai penjaring terbanyak Liga Jordan musim lalu dan diikuti tujuh gol yang dicatatkan­nya dalam saingan Liga Super setakat ini sudah pasti menjadi bekalan terbaik untuk bekas penyerang kebangsaan Cameroon itu mempamerka­n bisanya.

Kekuatan serangan KDA FC juga dijangka meningkat dengan kehadiran dua lagi pemain import terbaru dalam pasukan iaitu Mahmoud Al-Mardi dari Jordan dan Sanrawat Dechmitr dari Thailand yang diumumkan sebelum skuad Sang Kenari bertolak ke Bali.

"Saya mengidamka­n jaringan di pentas Piala AFC ini kerana sebagai penyerang, sudah pasti mencetak seberapa banyak gol impian utama yang disasarkan bagi menyumbang kemenangan buat KDA FC.

"Itu adalah sasaran semua penyerang di bahagian paling hadapan, namun hantaran gol untuk membantu pasukan mendapatka­n gol juga perkara penting kerana misi semua pemain KDA FC adalah memastikan pasukan dapat mencapai kemenangan.

"Hanya kemenangan sahaja hadiah terbaik yang dapat kami berikan kepada semua penyokong yang sentiasa menanti dan mengharapk­an kejayaan kami pada saingan tertinggi ini," katanya.

Wanja mengakui skuad KDA FC tidak akan diberi laluan mudah pada semua perlawanan berdasarka­n reputasi dan kekuatan pihak lawan juga membawa gelaran juara di negara masingmasi­ng sebelum layak ke saingan ini.

Menurutnya, walaupun Kedah baru dibentuk semula pada musim ini, beliau percaya skuad Sang Kenari akan hadir ke Bali dengan minda positif setelah bekerja keras sepanjang tempoh persiapan latihan yang diadakan sebelum ini.

"Saya juga melihat beberapa aksi membabitka­n kelebihan dan kekurangan pasukan lawan yang akan kami hadapi dalam kumpulan G nanti, namun kami tetap bersiap sedia untuk pastikan tiada kelemahan kami yang akan menjadi kelebihan buat mereka apabila beraksi kelak.

"Sebulan yang dilalui dalam persiapan sebelum ini, kami telah membina setiap kekuatan dengan sangat positif dan segera mengatasi kelemahan sebelum ini.

"Saya yakin dengan kelemahan yang sudah diatasi pasukan, kami akan memulakan cabaran kejohanan ini dengan 'mindset' mencari kemenangan dan mahu berada pada kedudukan teratas dan itulah objektif kami ke sana," katanya.

Tumpuan pada perlawanan pertama KDA FC pada saingan Piala AFC nanti juga bakal menemukan rakan senegara Wanja dari Cameroon iaitu Privat Mbarga yang menjadi antara tenaga penggempur untuk skuad Bali United FC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia