Harian Metro

Permudah urusan kemasukan jemaah

-

Sepang: Inisiatif Makkah Route yang bertujuan memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah sangat membantu urusan jemaah haji terlibat selain menjimatka­n banyak masa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata menerusi inisitif itu, para jemaah tidak perlu menunggu lama untuk menyelesai­kan urusan imigresen.

“Dalam masa singkat, tidak sampai satu jam mereka sudah berada di dalam pesawat. Urusan untuk semakan akhir pasport mereka pula hanya dalam setengah ke satu minit sahaja.

“Alhamdulil­lah ini merupakan satu perkara yang sangat positif kerana ia memudahkan urusan jemaah, kita tahu ada dalam kalangan mereka terdiri daripada warga emas dan menunggu ini suatu perkara yang menyusahka­n mereka,” katanya semasa meninjau program Makkah Route anjuran Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kelmarin.

Turut hadir Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Pelaksanaa­n Makkah Route membolehka­n bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

Menerusi inisiatif itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji, dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah jemaah haji tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di sana.

Malaysia merupakan negara pertama yang terpilih untuk melaksanak­an program perintis bagi inisiatif Makkah Route pada 2017 dan ia diteruskan pada 2018 serta 2019. Tahun ini, Malaysia terpilih menyertai inisiatif itu bersama empat lagi negara iaitu Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.

Ahmad Marzuk berkata setakat semalam, lebih 7,000 jemaah atau kira-kira separuh daripada kuota haji Malaysia telah tiba Makkah melalui inisiatif itu, yang memberikan perbezaan kepada para jemaah terutama ketika melalui pemeriksaa­n imigresen.

“Bagi yang pernah pergi haji sebelum ini mereka boleh bandingkan antara dulu dengan sekarang, tapi jika ini kali pertama mereka pergi jadi mereka datang semuanya sudah senang dan mudah,” katanya.

Beliau berkata pengurusan yang teratur dan hubungan yang kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi menjadikan negara ini terpilih antara lima negara yang menyertai inisiatif itu pada tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia