Harian Metro

Tak mengaku ‘jadi’ polis serta ambil dadah

-

Ipoh: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menyamar anggota polis selain memasukkan dadah ke badan pada Isnin lalu.

Tertuduh, C Kevin Cornelius, 41, mengaku tidak bersalah terhadap kedua pertuduhan itu yang dibaca di hadapan Majistret Nor Azreen Liyana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa berpura-pura memegang jawatan penjawat awam iaitu anggota polis di Bukit Kledang, Menglembu pada jam 8 pagi.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, Kevin didakwa memasukkan dadah jenis morfin dan THC di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh jam 12 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun selain perlu menjalani perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret membenarka­n tertuduh diikat jamin RM2,000 untuk setiap pertuduhan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia