Harian Metro

TETAP MAHU UNDUR

Nur Jazlan pelawa KJ bertanding di Pulai

- Oleh Omar Ahmad am@hmetro.com.my

Timbalan Pengerusi Badan Perhubunga­n Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed mengulangi pendirian melepaskan dan tidak lagi bertanding di kerusi Parlimen Pulai serta menjemput Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi itu.

Bekas Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal itu berkata, pendirian tegas itu dibuat selepas analisis jelas berhubung keputusan dan statistik pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua bulan lalu memberikan petanda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Saya tahu ramai terkejut dengan keputusan ini, ada macam tak percaya, ada anggap saya bergurau dan saya tahu ada yang gembira dengan keputusan saya itu.

“Ramai juga pujuk saya untuk tarik balik tapi saya tidak mahu. Ada yang tanya kenapa saya tak mahu bertanding lagi sedangkan saya masih ‘muda’ berbanding beberapa Ahli Parlimen lain yang terlalu tua tapi masih bernafsu mahu jadi calon pada PRU-15.

“Jawapan saya mudah, dengan pola dan peratusan pengundi cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan Barisan Nasional (BN), saya tahu saya kalah kalau bertanding.

“Kerusi Parlimen Pulai adalah kerusi maginal di mana pecahan peratus undi Melayu dan Cina cukup tipis perbezaan. Kalau saya bertanding dan dapat 70 peratus undi Melayu, tapi pengundi Cina langsung tak sokong, saya tetap kalah.

“Sejarah PRU-14 cukup mengajar saya kenal hati budi pengundi Cina,” katanya menerusi hantaran di media sosial Facebook.

Menurut Nur Jazlan yang juga Ketua Bahagian Umno Pulai, calon kerusi Parlimen itu diserahkan kepada parti untuk menentukan­nya.

Katanya, pihaknya tidak menolak jika Pengerusi MCA Johor Datuk Seri Wee Ka Siong nak beralih angin dari Ayer Itam ke Pulai.

“Mungkin Ka Siong boleh tarik pengundi Cina di Pulai kembali pilih dia sebagai Ahli Parlimen baru, sekali gus buktikan memang betul dakwaan beliau bahawa orang Cina kembali sokong BN sejak PRN Johor.

“Saya terbuka jika Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz yang selalu bangga beliau menang besar di kawasan majoriti Melayu itu datang bertanding di Pulai.

“Mungkin dengan ketokohan dan kehebatan beliau sebagai Ahli Parlimen paling senior dalam BN, Nazri boleh menang besar di Parlimen Pulai ini.

“Pada ketika itu baru beliau boleh dabik dada bahawa dia hero dan hulubalang sebenar dalam Umno dan BN,” katanya.

Jelas Nur Jazlan, mungkin juga Khairy Jamaluddin boleh menjadi calon di Parlimen Pulai.

Katanya, Khairy juga membuat pengorbana­n besar dengan ‘rela’ menyerahka­n kerusi Rembau kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Jadi, saya berjiwa besar memberi laluan kepadanya yang mencari kerusi lain untuk bertanding pada PRU-15 nanti.

“Saya rasa kerusi Pulai sesuai untuk KJ kerana ratio pengundi pelbagai kaum iaitu 48 peratus Melayu; 40 peratus (Cina), 12 peratus (India) dengan 160,000 jumlah pengundi,” katanya.

 ?? ?? NUR Jazlan
NUR Jazlan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia