Harian Metro

Pekerja boleh mohon bekerja secara fleksibel

-

Alor Setar: Pekerja di negara ini yang ingin bekerja secara fleksibel boleh membuat permohonan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing di bawah pindaan Akta Kerja 1955 yang akan mula dikuatkuas­akan pada 1 September depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata permohonan AKF itu perlu dibuat secara bertulis dan boleh meliputi perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan juga tempat bekerja.

“Apabila pemohonan dibuat, majikan perlu memberi jawapan kepada pekerja secara bertulis sama ada bersetuju atau menolak permohonan berkenaan dalam tempoh 60 hari dan perlu memberi alasan mengapa permohonan itu ditolak,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan program Simposium Keharmonia­n Perusahaan Wilayah Utara yang diadakan bertujuan meningkatk­an hubungan majikan dan pekerja dalam menjaga kepentinga­n keharmonia­n perusahaan selain meningkatk­an tahap pematuhan undang-undang.

Sementara itu, Awang berkata kajian juga dijalankan terhadap tempoh bekerja empat hari dalam seminggu bagi memastikan majikan tidak berdepan kesan yang teruk sekiranya ia dilaksanak­an pada masa hadapan.

“Kajian sudah dan sedang dijalankan. Setakat ini, kita lihat tempoh empat hari bekerja itu tidak mengurangk­an produktivi­ti pekerja.

“Sekiranya ada majikan yang terkesan, kita akan ambil kira kajian berkenaan untuk dibincangk­an di pihak kementeria­n,” katanya.

Sebelum ini, pakar ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata Malaysia belum bersedia untuk melaksanak­an dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti yang mula dilaksanak­an di beberapa negara maju berikutan faktor produktivi­ti yang rendah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia