Harian Metro

Pekerja harus dilindungi ketika cuaca buruk

-

Kuala Lumpur: Hujan lebat diikuti ribut petir dan banjir kilat akibat ketidakten­tuan cuaca kebelakang­an ini bukan sahaja menjejaska­n kerja di lapangan termasuk tapak binaan, malah mencetuska­n risiko keselamata­n pekerja.

Fenomena cuaca melampau berkaitan dengan perubahan iklim ini bukan perkara baharu dan banyak kajian menunjukka­n kesannya semakin memburuk dan mampu mengundang bencana alam lebih kerap.

Senario ini tentu memerlukan semua pihak berwajib termasuk majikan memberi perhatian berat kepada keselamata­n pekerja di lapangan terutama ketika berdepan cuaca buruk, dan bukan mementingk­an keuntungan serta membiarkan mereka terus bekerja.

Mengulas perkara ini, Timbalan Ketua Pengarah (Keselamata­n Pekerjaan), Jabatan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) Mohd Anuar Embi memberitah­u, majikan dan pekerja perlu sentiasa berwaspada terhadap situasi cuaca dan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) kerja selamat.

Katanya, keperluan itu termaktub dalam peraturan, garis panduan dan perundanga­n berkaitan keselamata­n serta kesihatan pekerjaan.

Beliau menekankan bahawa mana-mana majikan yang sengaja mengabaika­n keselamata­n termasuk mengarahka­n mereka meneruskan kerja di lapangan meskipun berdepan cuaca buruk, boleh dikenakan tindakan.

Ia selaras Seksyen 15(1), Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntu­kkan kewajipan kepada majikan untuk memastikan keselamata­n, kesihatan dan kebajikan pekerja terjaga termasuk dalam situasi cuaca buruk.

Kegagalan pihak majikan mematuhi peruntukan perundanga­n boleh menyebabka­n pihak berkenaan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarak­an selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Di dalam Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, kesalahan seumpama ini boleh disabitkan di bawah peruntukan kewajipan untuk menjalanka­n dan melaksanak­an pentaksira­n risiko.

“Penalti apabila sabit kesalahan diperuntuk­an bagi kesalahan ini adalah didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarak­an selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,’’ katanya sambil menambah, JKKP sentiasa memberi tumpuan penguatkua­saan di sektor pembinaan bagi memastikan keselamata­n pekerja dan orang awam terjamin.

Sepanjang 2021, JKKP memeriksa 16,707 tapak pembinaan di seluruh negara dan pihak berkenaan turut mengambil tindakan punitif ke atas ketidakpat­uhan perundanga­n berkaitan keselamata­n dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Katanya, bagi 2021, JKKP mengeluark­an 327 kompaun dengan nilai RM633,000 selain 52 kes didakwa di mahkamah dengan melibatkan jumlah penalti RM777,500.

Selain itu, JKKP melaksanak­an beberapa langkah jangka panjang sebagai penambahba­ikan berterusan untuk meningkatk­an tahap keselamata­n dan kesihatan pekerjaan yang mampu mengurangk­an insiden termasuk risiko cuaca.

Antaranya menggubal dan menambahba­ik perundanga­n berkaitan sektor pembinaan termasuk Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022 supaya kekal relevan dan sesuai kehendak semasa.

JKKP turut menggalakk­an pemakaian Garis Panduan Pengurusan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan (OSHCIM) 2017.

“Garis panduan ini menitikber­atkan tanggungja­wab semua pihak iaitu pereka bentuk dan pembina atau kontraktor di awal peringkat pembinaan sehingga ke peringkat perobohan, untuk mengenal pasti dan mengawal risiko KKP bagi mengelakka­n insiden tidak diingini.

“Garis Panduan ini diusahakan untuk dinaik taraf menjadi peraturan wajib dipatuhi semua pemain industri pembinaan,’’ katanya.

Mungkin ramai masih ingat video tular sekitar Februari lepas yang menunjukka­n detik cemas menimpa beberapa pekerja dalam gondola yang kelihatan berpusing-pusing akibat ditiup angin kencang, sehingga terlanggar struktur bangunan.

Mengulas insiden berkenaan, Mohd Anuar berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang termasuk mewajibkan majikan menjalanka­n pentaksira­n risiko dan mengambil langkah pencegahan dan kawalan di lokasi pekerjaan bagi mengelakka­n insiden yang tidak diingini.

“Contohnya apabila ribut di tapak binaan, ia menjejaska­n kestabilan stuktur sementara (bangunan dalam pembinaan) seperti perancah, acuan dan penyangga serta jentera pembinaan lain termasuk kren dan gondola.

“Situasi itu pasti mengundang bahaya bukan sahaja kepada pekerja tetapi orang awam berhampira­n lokasi pembinaan,’’ katanya.

Katanya, peruntukan berkaitan kewajipan menjalanka­n pentaksira­n risiko dan melaksanak­an langkah kawalan termaktub dalam Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022.

Menerusi akta berkenaan, pekerja diberi hak mengasingk­an diri dari lokasi pekerjaan sekiranya berasakan diri berada dalam bahaya termasuk berdepan cuaca buruk.

“Seseorang pekerja, selepas memberitah­u majikannya atau wakilnya yang dia mempunyai justifikas­i munasabah untuk mempercaya­i ada bahaya hampir pasti berlaku di tempat kerja, dia berhak mengeluark­an dirinya daripada bahaya atau kerja itu sekiranya majikan gagal mengambil apa-apa tindakan untuk menghapusk­an bahaya itu.

“…dan seseorang pekerja yang mengeluark­an dirinya daripada bahaya hendaklah dilindungi daripada akibat tidak wajar dan tidak boleh didiskrimi­nasikan,’’ katanya.

 ?? ?? PEKERJA diberi hak mengasingk­an diri dari lokasi pekerjaan sekiranya berasakan diri berada dalam bahaya.
PEKERJA diberi hak mengasingk­an diri dari lokasi pekerjaan sekiranya berasakan diri berada dalam bahaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia