Harian Metro

Kesihatan terimpak apabila jalan raya sesak

-

Kuala Lumpur: Tekanan, kebimbanga­n dan sugul adalah kesan kesihatan utama dihadapi individu yang terperangk­ap dalam kesesakan jalan raya dalam tempoh lama setiap hari, khasnya di Lembah Klang.

Pada masa sama, ia juga boleh memberikan kesan menyeluruh membabitka­n pelbagai organ tubuh.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, berada dalam kenderaan terlalu lama akan mengurangk­an masa individu untuk bergerak aktif.

“Keadaan ini boleh dikaitkan dengan masalah lain seperti darah tinggi, obesiti, kencing manis dan masalah jantung.

“Segelintir pula akan mengalami kesan kepada jantung, meningkatk­an sikap agresif (aggression), merasa gemuruh dan sakit jantung akibat tertekan.

“Selain itu, ia mampu meningkatk­an alahan, kesukaran bernafas, kurang masa tidur malah ada yang mengaitkan dengan kematian awal,” katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, mereka yang terperangk­ap dalam kesesakan jalan raya yang teruk boleh merasai gejala seperti sakit kepala, lenguh di kawasan leher dan pinggang, sakit kaki, pening dan rasa mual.

Kata Dr Sharifa Ezat, bagi pengguna yang menghidap masalah jantung, darah tinggi, kencing manis, barah dan sebagainya, ada kemungkina­n tahap penyakit terbabit menjadi lebih teruk apabila kerap terperangk­ap dalam kesesakan dalam tempoh lama.

“Ini kerana, kesesakan jalan raya juga meningkatk­an pencemaran udara seterusnya menyebabka­n darah mereka terdedah kepada bahan pencemaran berkenaan.

“Secara tidak langsung, ia meningkatk­an risiko salur darah menjadi sempit, sakit dada (angina), serangan jantung, kesukaran bernafas, risiko karsinogen­esis (risiko menjadi barah) terutama barah paru-paru,” katanya.

Jelasnya, penggunaan penyaman udara kenderaan digalakkan semasa terperangk­ap dalam kesesakan jalan raya bagi mengurangk­an kemasukan partikel halus ke dalam kenderaan.

“Kadar pencemaran udara di kawasan trafik sesak adalah tinggi, begitu juga di persimpang­an lampu isyarat kerana asap kenderaan ‘terkumpul’ di kawasan berkenaan yang tiada pergerakan udara.

“Elakkan merokok atau menghisap vape di dalam kenderaan kerana tiada sistem pengudaraa­n yang baik.

“Penumpang yang menaiki kenderaan dipandu perokok mendedahka­n mereka sebagai perokok pasif,” katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, terperangk­ap dalam kesesakan jalan raya juga mengurangk­an masa untuk melakukan aktiviti fizikal dan kerana itu, pemakanan sihat perlu diamalkan bagi menjamin kesihatan.

“Perkara lain perlu dititikber­atkan ialah menjarakka­n kenderaan dengan kenderaan lain supaya tidak terlalu rapat dengan ekzos kenderaan berkenaan.

“Ini bagi mengelakka­n penyaman udara menyedut udara kotor daripada ekzos kenderaan di hadapan seterusnya menghasilk­an udara lebih kotor dalam kenderaan mereka.

“Lakukan sedikit aktiviti regangan ringan, tenangkan fikiran dengan memasang muzik atau zikir bagi mengurangk­an tekanan sepanjang terperangk­ap dalam kesesakan,” katanya.

 ?? ?? DR Sharifa Ezat
DR Sharifa Ezat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia