Harian Metro

Meracau, trauma lihat lelaki lalu lalang depan katil

-

Tumpat: Bukan saja meracau, malah wanita yang parah ditetak suami turut ketakutan akibat trauma apabila melihat kelibat lelaki lalu lalang di depan katil di wad dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu di sini.

“Setiap kali adik cuba pejamkan mata untuk lelap, dia akan meracau dan jika saya kejutkanny­a, dia akan mengatakan ‘kak, takut kak’ seolah masih terbayang peristiwa dia ditikam suami,” kata kakaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Nik.

Mangsa yang berusia 26 tahun kini dirawat di wad biasa selepas dipindahka­n daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II.

Menurut Nik, 34, satu daripada dua jari tangan adiknya yang putus akibat ditetak mungkin tidak dapat diselamatk­an manakala satu lagi sempat disambung.

“Balutan di kepalanya juga sudah dibuka. Luluh hati saya melihat banyak kesan jahitan di sekeliling kepalanya malah terdapat beberapa kesan tikaman di bahagian belakang badannya.

“Sejak dipindahka­n daripada ICU semalam (kelmarin), adik tidak dapat lena tidur kerana mengadu sakit dan jika terlelap sekalipun, dia akan kerap meracau,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Nik yang juga ibu tunggal dan memiliki dua anak yang masih kecil berkata, buat masa sekarang, hanya dia yang menjaga adiknya di hospital memandangk­an ibunya yang turut menjadi mangsa tikaman belum pulih sepenuhnya.

Pada kejadian jam 6.35 petang 21 Jun lalu, lelaki berusia 27 tahun menikam isteri dan ibu mentuanya, 60-an, dipercayai akibat perselisih­an faham pada kejadian di Chabang Empat di sini.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di Lembah Sireh, Kota Bharu pada keesokan harinya.

Dia yang memiliki empat rekod lampau ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 326KK.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia