Harian Metro

DENDANGAN LAGU PEMUISI

Hasilkan karya buku puisi Kejora menerusi pengalaman mimpi

- Oleh Syafil Syazwan Jefri syafil.syazwan@hmetro.com.my

Paling saya ingati adalah, mimpi apabila saya bertutur dalam bahasa Arab sedangkan saya tidak boleh bertutur dalam bahasa itu ASHIKIN

Mimpi adalah satu daripada beberapa langkah untuk seseorang individu keluar daripada kehidupan sebenar yang penuh dengan dugaan dan cabaran.

Bagi sesetengah orang, mimpi dianggap sebagai mainan tidur semata-mata, namun, bagi individu yang lain pula, mimpi umpama satu petunjuk lain, yang mungkin tidak akan dapat difahami oleh orang lain.

Elemen itulah digabungka­n dengan kisah kehidupan yang diamati oleh penulis puisi, Ashikin M, sekali gus diterjemah­kan ke dalam bentuk buku puisi berjudul Kejora.

“Kejora adalah proses ilham yang memakan masa selama tujuh tahun untuk disiapkan. Secara ringkasnya, ia mengisahka­n mengenai perhubunga­n sesama manusia dan juga hubungan antara manusia dengan Tuhan.

“Dalam kata yang lebih mudah, ia adalah naskhah yang lebih spiritual, yang digarap dalam bentuk cerita penglipur lara,” katanya.

Berkongsi kisah perjalanan bagaimana buku ke-11 yang dihasilkan­nya itu, penulis puisi berusia 32 tahun ini berkongsi satu perjalanan panjang yang dilaluinya.

“Saya memulakan langkah sebagai penulis menerusi cerita pendek, seterusnya ke novel dan kemudian, barulah saya cuba menulis puisi.

“Untuk Kejora, pada peringkat awal, ia dalam bentuk klausa yang kemudian menjadi catatan seterusnya puisi dan itu berlaku sepanjang tujuh tahun,” katanya.

Siapa sangka, pertemuann­ya beberapa tahun lalu dengan seorang lelaki tua yang juga pemandu bot memberikan satu ilham buatnya.

“Perjalanan Kejora bermula apabila saya bertemu dengan seorang pemandu bot ketika saya menyertai satu trip menyelam. Pertemuan itu membuatkan perkongsia­n mengenai bintang Kejora.

“Menurut pemandu bot itu, bintang Kejora adalah bintang pengasuh, ‘mengasuh’ laluan buat kelasi kapal ketika mereka berada di laut.

“Tidak bersendiri­an, bintang Kejora juga memiliki pasanganny­a yang dikenali sebagai bintang Raja. Bezanya, bintang Raja membawa ribut.

“Kalau diamati, jalan cerita dalam Kejora menyentuh mengenai lautan dan angkasa lepas, kombinasi daripada mimpi dan juga pengamatan saya,” katanya.

Ashikin seterusnya membawa sesi temu bual menerjah masuk ke kisah mimpi yang dialaminya selama 300 hari berturuttu­rut.

“Tahun lalu, saya bermimpi setiap hari selama 300 hari. Selepas membuat pencarian, saya dapat tahu bahawa mimpi yang saya alami itu diterjemah­kan sebagai sesuatu yang berlaku dalam kehidupan saya.

“Ia umpama satu jalan keluar untuk saya keluar sebentar dari dunia nyata. Ada mimpi yang mencabar dan penuh penerokaan dan ada juga mimpi ngeri.

“Semuanya saya catat di dalam telefon saya untuk memudahkan saya merujuk semula. Paling saya ingati adalah, mimpi apabila saya bertutur dalam bahasa Arab sedangkan saya tidak boleh bertutur dalam bahasa itu.

“Namun, dalam mimpi itu, saya faham apa yang berlaku dan saya tuturkan,” katanya.

Tidak sekadar menjadi naskhah yang dibukukan, tiga karya daripada Kejora juga turut dituangkan ke dalam bentuk lagu.

“Untuk lagu ini, saya hasilkan bersama pemuzik, Ayop Azril. Melihatkan potensi yang ada, mungkin karya lagu puisi ini akan dibawa lebih jauh ke dalam arus perdana.

“Namun, saya jelaskan bahawa saya bukanlah penyanyi, sebaliknya pemuisi yang menyanyi,” katanya.

 ?? ??
 ?? FOTO AZIAH AZMEE ??
FOTO AZIAH AZMEE

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia