Harian Metro

Aidil janji Lang Merah kembali bangkit!

-

Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman FC tidak melihat kekalahan di tangan Bali United sebagai penamat perjuangan mereka dalam saingan Piala AFC apabila yakin akan bangkit dalam dua aksi berikutnya.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kekalahan 0-2 dalam aksi pertama Kumpulan G yang berlangsun­g di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Gianyar, Bali malam kelmarin itu akan dijadikan tonik kebangkita­n untuk perlawanan kedua menentang Kaya Iloilo FC dari Filipina, esok.

Jelasnya, pasukannya tidak akan mudah ‘mengibar bendera putih’ apabila sebaliknya akan turun dengan aksi lebih bertenaga nanti.

“Apabila kamu tewas pada aksi pertama kamu perlu bangkit pada aksi berikutnya dan kita perlu fokus kerana Kaya FC juga tewas pada aksi pertama mereka.

“Saya rasa peluang masih terbuka, kita juga perlu melihat saingan di kumpulan lain yang mana ada dapat keputusan seri.

“Jadi peluang masih lagi terbuka dan pemain perlu percaya untuk bangkit pada aksi seterusnya,” katanya yang berjaya meraih slot ke Piala AFC musim ini selepas membawa Kedah muncul naib juara Liga Super musim lalu.

Bali United yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah berjaya meraih dua gol hasil jaringan sendiri penyerang Kedah, Ronald Ngah di babak pertama sebelum Muhammad Rahmat menambah gol di 10 minit terakhir babak kedua.

Menurut Aidil, dua gol yang diraih lawan adalah hasil kesilapan pemain yang tidak fokus ketika bertahan.

“Gol pada penghujung separuh masa pertama dan gol kedua pada penghujung separuh masa kedua juga disebabkan kita hilang tumpuan tetapi kita harap pemain belajar daripada perlawanan ini,” katanya.

Kekalahan itu meletakkan Kedah di tangga tercorot kumpulan, sementara Bali United menghuni kedudukan teratas.

Kelab Kemboja, Visakha FC turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Kaya Iloilo 2-1 pada aksi pertama untuk berada di kedudukan kedua.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia