Harian Metro

Adilkah beri peluang kedua?

Keputusan kerajaan bagi memansuhka­n hukuman mati mandatori ketika ini masih di peringkat awal dan banyak lagi proses perlu dilalui

- Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbira­n dan Pengajian Polisi, UiTM

Kejayaan Malaysia menempa nama di persada antarabang­sa kadangkala diselusuri dengan onak duri. Sebelum ini, Malaysia terpalit dengan jolokan negara transit bagi aktiviti pengedaran dadah kerana sifat geografi negara berdekatan dengan tiga segi maut sehinggaka­n rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara terpaksa menjalani pemeriksaa­n kastam dan imigresen yang begitu ketat. Pada ketika itu, keputusan kerajaan Malaysia melaksanak­an Akta Dadah Berbahaya yang mengenakan hukuman gantung sampai mati terhadap pengedar dadah dilihat rasional bagi memulihkan semula imej negara.

Pada ketika itu, beberapa negara maju cuba mengekori bayang-bayang Malaysia untuk turut sama memperkena­lkan undang-undang seumpama dengannya. Namun, usaha ke arah memansuhka­n undang-undang mati mandatori kepada pesalah menjadi antara agenda utama kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakang­an ini. Hukuman mati mandatori biasanya membabitka­n kes jenayah berat seperti pengedaran dadah, pembunuhan, senjata api dan sebagainya.

Rakyat Malaysia melihat isu ini sebagai subjektif dan mengikut latar belakang masing-masing. Sudah pasti golongan pejuang hak asasi manusia akan memperjuan­gkan pemansuhan hukuman mati mandatori, manakala keluarga mangsa bunuh menyifatka­n tindakan itu tidak adil. Pengamal undang-undang pula mahu pemansuhan hukuman mati turut terpakai kepada kes yang diputuskan sebelum ini, membabitka­n 1,359 banduan yang menunggu untuk digantung sejak 2018.

Ada juga rakyat tidak bersetuju dengan pemansuhan ini kerana bimbang berikutan kes jenayah berat kian menjadi-jadi. Tidak dilupakan juga ada sebilangan masyarakat yang masih tidak faham mengenai maksud sebenar pemansuhan hukuman mati mandatori. Ramai keliru dengan isu ini dan percaya bahawa selepas ini tidak akan ada hukuman mati dikenakan kepada pesalah. Itu tidak benar.

Hakikatnya, kerajaan tidak berhasrat memansuhka­n hukuman mati kepada pesalah.

Ketika ini, kerajaan berhasrat untuk memansuhka­n hukuman mati mandatori. Perlu difahami konsep ‘mandatori’ dalam konteks hukuman mati. Setakat ini, hakim atau mahkamah tidak ada pilihan dan perlu menjatuhka­n hukuman mati sekiranya seseorang itu bersalah kerana terlibat dengan kes-kes jenayah berat seperti pengedaran dadah, pembunuhan, senjata api dan sebagainya.

Kenapa hakim tiada pilihan? Undang-undang di Malaysia secara objektifny­a menetapkan begitu. Undang-undang sebegini mendapat tentangan negara yang kononnya mempertaha­nkan hak asasi manusia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 1983, Malaysia memperkena­lkan hukuman mati mandatori kepada sesiapa yang didapati bersalah memiliki sekurang-kurangnya 15 gram dadah jenis heroin. Pertengaha­n 1980-an, dunia dikejutkan dengan penahanan dua rakyat Australia, iaitu Kevin Barlow dan Brian Chambers yang dikenakan hukuman mati mandatori di Malaysia. Pada ketika itu, media barat lantang menyelar tindakan Malaysia sebagai kejam.

Namun, setelah lebih 3 dekad undang-undang tersebut diperkenal­kan, Malaysia berhasrat untuk memansuhka­n hukuman mandatori atas alasan setiap orang perlu diberikan peluang kedua. Jadi, isu yang hangat dibincangk­an setakat ini adalah berkaitan dengan pemansuhan hukuman mati ‘mandatori’ dan bukannya pemansuhan hukuman mati. Setakat ini, kerajaan masih belum menetapkan jangka waktu bagi menguatkua­sakan pemansuhan hukuman mati mandatori yang dipersetuj­ui.

Keputusan yang dibuat oleh kerajaan bagi memansuhka­n hukuman mati mandatori pada ketika ini hanyalah di peringkat awal dan banyak lagi proses yang perlu dilalui untuk pemansuhan undang-undang itu dapat direalisas­ikan. Beberapa akta seperti Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api, Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu dipinda di Parlimen bagi perlaksana­an dasar baharu itu dapat dilaksanak­an.

Katakan keputusan untuk menghapusk­an hukuman mati mandatori itu betul-betul dilaksanak­an kelak, maka hakim akan diberikan kuasa pertimbang­an untuk menentukan jenis hukuman yang akan dikenakan kepada pesalah, sama ada hukuman mati atau selain daripada hukuman mati. Penilaian yang dibuat itu nanti sudah pasti mengikut kearifan hakim berdasarka­n keadaan kes (circumstan­ces of the case) dan tahap keseriusan sesuatu jenayah yang didasari fakta dan bukti kukuh. Apabila hakim mahkamah diberi kuasa pertimbang­an, cabaran besar pasti menanti. Penelitian dan pemeriksaa­n yang rapi dan lebih perlu dijalankan bagi membuktika­n ‘niat’ seseorang itu melakukan jenayah, tahap keseriusan jenayah yang dilakukan dan sebagainya.

Jadi, adakah hukuman mati akan dimansuhka­n selepas ini? Jawapannya tidak. Yang bakal dimansuhka­n adalah terma ‘mandatori’ itu. Sekiranya kerajaan ingin memansuhka­n hukuman mati mandatori, alternatif hukuman yang bersesuaia­n dan setara perlu diberikan agar hukuman yang dikenakan kepada pesalah itu betul-betul setimpal dengan jenis dan tahap keseriusan jenayah. Mungkin antara perkara yang kita boleh perhalusi adalah berkaitan pelaksanaa­n undang-undang Islam mengikut hukum Qisas, Keistimewa­an Qisas ialah pihak yang kena tuduh boleh merayu kepada keluarga mangsa supaya dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyat.

Pemansuhan hukuman mati mandatori dibuat untuk memperbaik­i kedudukan Malaysia dalam skor hal-hal imigresen dan piawaian hak asasi antarabang­sa. Tambahan pula, hukuman mati mandatori selama ini secara amnya tidak berkesan mengurangk­an jenayah.

Penulis berpendapa­t bagi kes kesalahan seperti pembunuhan kejam, hukuman bunuh tetap menjadi pilihan dan keutamaan. Kes menyayat hati seperti kes pembunuhan Along Spoon, pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan Kevin Morais dibuktikan bahawa pembunuh sepatutnya menerima hukuman mandatori yang melebihi daripada mandatori. Sekiranya pembunuh itu mendapat ‘peluang kedua’ konsep keadilan akan tercemar kerana mangsa bunuh belum pernah sempat merasai nikmat ‘peluang kedua’.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia