Harian Metro

Guna app kawal barang subsidi

-

Penggunaan aplikasi telefon pintar untuk merekodkan pembelian barang kawalan merupakan antara kaedah yang dicadangka­n untuk mengawal ketat agihan barangan bersubsidi, kata Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, kerajaan masih meneliti kaedah terbaik dan beberapa syor disuarakan sebagai langkah mengekang ketirisan berkaitan pembelian barangan itu secara borong termasuk minyak masak kampit satu kilogram (kg) di pasaran.

“Kita tetapkan dua paket (minyak masak kampit) untuk seorang, tapi ada antara pengguna selepas buat pembelian, mereka pergi ke kedai lain dan beli lagi. Kita sedar itu berlaku.

“Mungkin boleh pakai aplikasi nanti jadi kalau pengguna nak beli lagi di kedai lain, aplikasi itu tidak akan benarkan. Ini bukan untuk minyak masak sahaja, tapi barangan subsidi yang lain,” katanya selepas melawat kilang pembungkus­an minyak masak di sini, kelmarin.

Nanta turut memberi amaran kepada pemain industri untuk tidak terbabit dalam aktiviti penyelewen­gan barangan bersubsidi dan beliau tidak teragak-agak menggantun­g permit syarikat sekiranya didapati bersalah.

Turut hadir dalam lawatan itu Timbalan Pengarah Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Peter J.Berinus Agang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Nanta berkata, peranan KPDNHEP dalam penentuan harga siling ayam di pasaran, tertumpu kepada penguatkua­saan untuk memastikan peniaga mematuhi harga siling yang ditetapkan. Katanya, sesi libat urus bersama penggiat industri ternakan ayam serta pegawai kanan kementeria­nnya dan Kementeria­n Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), diadakan pagi kelmarin bagi membincang­kan isu berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumka­n harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Dalam pada itu, dalam kenyataan media kelmarin Nanta memaklumka­n tiada sebarang aduan dan kesalahan mengenai kegiatan sorok barang kawalan dicatatkan di Sarawak sepanjang pelaksanaa­n Kempen Anti Sorok 2022 dari Januari hingga 18 Jun lepas.

Beliau turut memberitah­u bekalan minyak masak kampit di negeri itu mencukupi setakat ini dan kekurangan di beberapa premis adalah bersifat sementara.

 ?? ?? NANTA (dua dari kanan) meninjau minyak masak paket bersubsidi satu kilogram di sebuah kilang pembungkus­an di Kuching.
NANTA (dua dari kanan) meninjau minyak masak paket bersubsidi satu kilogram di sebuah kilang pembungkus­an di Kuching.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia