Harian Metro

Air mata perpisahan di hari terakhir

-

Sungai Petani: Perbezaan kaum dan agama bukan halangan untuk guru Geografi, D Chandramat­hi, 39, menjalin hubungan akrab dan melayan pelajar kelasnya yang majoriti Melayu seperti anak sendiri.

Keakraban itu juga menyebabka­n Chandramat­hi berat melepaskan anak didiknya pada 13 Jun lalu yang menjadi hari terakhir pertemuan mereka di sekolah.

Kisah Chandramat­hi yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Che Tom di sini, mendapat perhatian netizen selepas salah seorang pelajarnya memuat naik video di TikTok, baru-baru ini.

Menerusi video yang tular itu, kelihatan Chandramat­hi menangis sewaktu bersalaman dan memeluk pelajarnya.

“Video itu dirakam ketika saya bertemu pelajar sebaik mereka selesai menjawab kertas terakhir untuk peperiksaa­n Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Saya lihat pelajar sedih dan ada yang menangis, jadi reaksi mereka membuatkan saya gagal menahan sebak.

“Mulanya saya tidak tahu video itu tular di TikTok sehingga diberitahu oleh rakan, pagi kelmarin.

“Walaupun ada akaun TikTok, saya tidak begitu pandai kerana masih baharu, jadi terkejut juga apabila video itu dapat perhatian ramai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menceritak­an sejauh mana keakrabann­ya dengan pelajar, Chandramat­hi berkata, segalanya bermula selepas dia ditugaskan menjadi guru kelas tingkatan 6A/UM tahun lalu yang memberinya peluang meluangkan banyak masa bersama mereka secara bersemuka serta dalam talian.

“Kumpulan pelajar itu istimewa kerana mereka mendaftar masuk sekolah dua tahun lalu iaitu ketika baru tercetusny­a pandemik Covid-19.

“Saya guru kelas mereka, jadi ada ketikanya dipertangg­ungjawabka­n juga untuk jadi guru ganti.

Chandramat­hi berkata, daripada sekadar guru kelas, akhirnya hubunganny­a dengan pelajar jadi lebih mesra kerana dia bukan hanya mengajar malah turut menjadi tempat pelajar berkongsi masalah.

“Kalau rasa sedih, mereka akan luahkan dengan saya, malah ada antaranya pernah menangis di hadapan saya ketika berkongsi masalah.

“Mereka turut pelawa saya ketika makan dan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah dua kejutan diterima daripada pelajar sempena ulang tahun kelahiran saya.

“Kelas saya ada 16 pelajar membabitka­n 14 pelajar Melayu dan dua lagi India namun saya lebih rapat dengan pelajar Melayu, malah tiada masalah bergaul dengan mereka.

“Saya pernah marah mereka tetapi untuk kebaikan dan kini semua itu tinggal kenangan,” katanya yang menjadi pendidik sejak 15 tahun lalu dan berpengala­man mengajar di Kolej Matrikulas­i Johor dan Kedah.

Biarpun tidak lagi bersama pelajarnya selepas ini, Chandramat­hi tetap mendoakan kejayaan semua anak didiknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia