Harian Metro

Rahani pastikan nasib cucu terbela

-

Chukai: “Selagi ada kudrat saya akan jaga mereka sedaya upaya kerana mahu lihat mereka berjaya dalam ilmu agama dan pendidikan,” kata Rahani Ismail.

Rahani, 61, adalah ibu kepada Allahyarha­m Rabiatulad­awiah Saufi, 36, yang maut bersama suaminya, Mohd Abdika Razali, 36, dalam kemalangan di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpang­an Tanjung Jara, Dungun pada Sabtu lalu.

Menurutnya, dia sangat sedih dengan kehilangan anak dan menantunya itu yang menyebabka­n tiga cucunya, Mohd Amirullah, 16; Qistina Amalina, 13, serta Qasdina Afiqah, 8, menjadi yatim piatu.

“Saya sentiasa berdoa kepada Tuhan semoga memberi saya kesihatan yang baik agar dapat menjaga dan melihat cucu-cucu ini membesar dan berjaya dalam pelajaran.

“Pada masa sama, saya sudah berbincang dengan keluarga menantu (Mohd Abdika) untuk sama-sama menjaga termasuk dalam soal kebajikan tiga cucu kami,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui arwah anak dan menantunya sangat baik kerana sentiasa mengambil berat dan menyayangi tiga cucunya itu namun kehilangan mereka sangat dirasai.

“Saya sangat sedih kerana mereka (cucu) kehilangan dua insan yang disayangi dalam dalam sekelip mata ketika mereka masih memerlukan kasih sayang ibu bapa, namun saya perlu reda,” katanya.

Katanya, dia sentiasa berpesan kepada cucu-cucunya itu supaya belajar dengan bersungguh-sungguh dan tidak meninggalk­an solat serta menjadi anak yang baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Baharuddin Abdullah berkata, pemandu MPV berusia 34 tahun berkenaan direman selama tiga hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif dadah, manakala sampel darahnya dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia