Harian Metro

Tuntut ganti rugi RM60 juta

Al Dar Resources fail saman atas kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di HSK Nenggiri

- Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim am@hmetro.com.my

Syarikat Al Dar Resources Sdn Bhd dan pemiliknya memfailkan dua saman terhadap Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa dengan menuntut ganti rugi RM60 juta atas dakwaan mengeluark­an kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Al Dar Resources menuntut ganti rugi RM50 juta manakala pemilik syarikat berkenaan, Mohd Haffiz Mohd Rasdin pula menuntut ganti rugi RM10 juta menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Selasa lalu dengan menamakan Husam sebagai defendan.

Peguam plaintif, Azeel Eskandar Azmi berkata, saman terbabit dibuat susulan dua kenyataan yang dimuat naik Husam menerusi Facebook pada 3 Jun dan 6 Jun lalu yang disifatkan memfitnah syarikat anak guamnya.

“Anak guam menafikan dengan tegas keseluruha­n pernyataan-pernyataan dalam kedua-dua hantaran berkenaan.

“Pernyataan itu adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah. Kesannya menjatuhka­n imej dan reputasi baik anak guam kami selaku sebuah syarikat dan ahli perniagaan yang mempunyai nama baik di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, menerusi saman itu, Al Dar Resouces menuntut ganti rugi RM50 juta iaitu RM10 juta untuk ganti rugi am akibat penerbitan perkataan fitnah manakala RM40 juta bagi ganti rugi khas akibat kehilangan

pendapatan susulan penerbitan fitnah berkenaan.

“Anak guam kami turut menuntut satu perintah mengarahka­n defendan memadam semua penerbitan fitnah, satu injunksi berterusan yang menghalang defendan

sama ada sendiri atau melalui ejen daripada menerbitka­n semula atau menyebabka­n penerbitan semula perkataan fitnah.

“Defendan juga dituntut membuat permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi

teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi pihak pemilik syarikat Al Dar Resouces, Mohd Haffiz menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada defendan selain perintah-perintah injunksi sampingan seperti dinyatakan dalam saman berkenaan.

“Kami sudah menghantar notis tuntutan kepada defendan pada 12 Jun lalu, namun tidak mendapat maklum balas sebelum kami memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 21 Jun dan 22 Jun lalu. Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Julai depan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haffiz, 38, berkata segala kenyataan yang dikeluarka­n Husam adalah tidak benar.

Katanya, syarikatny­a mendapat kelulusan kontrak daripada Daulah Najah Sdn Bhd bagi projek mengeluark­an saki-baki kayu dalam kawasan berkenaan untuk penempatan semula Orang Asli bagi pembinaan hidroelekt­rik Nenggiri untuk kawasan yang ditenggela­mkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia