Harian Metro

Sekolah untuk anak mangsa perang

- Oleh Othman Mamat melaporkan dari Gaziantep (Turki)

Humanitari­an Care Malaysia (MyCare) membina sebuah sekolah bernilai kira-kira RM1 juta bagi menyediaka­n kemudahan pendidikan yang lebih sempurna dan bersistema­tik kepada anak-anak mangsa perang yang kini menjadi pelarian di Syria.

Sekolah yang bakal dikendalik­an sepenuhnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dibina menerusi sumbangan rakyat Malaysia yang disalurkan menerusi pelbagai tabung yang diuruskan oleh MyCare dengan kerjasama pasar raya besar Econsave Cash and Carry (Econsave) di seluruh negara.

Majlis pecah tanah pembinaan sekolah komprehens­if itu dijangka dilakukan sebaik rombongan misi kemanusiaa­n MyCare/Econsave melawat kem pelarian di Azaz, utara Syria, hari ini.

Ahli Pemegang Amanah MyCare, Dr Mohd Zin Kandar berkata, pembinaan sekolah berkenaan yang menjadi antara projek terbesar misi kemanusiaa­n NGO itu tahun ini adalah rentetan kejayaan pembinaan sekolah As-Solah dan Siti Khadijah di Deir Balah di Semenanjun­g Gaza, Palestin, yang sehingga kini berjaya melahirkan cerdik pandai di kalangan anak Palestin.

Beliau yang mengetuai misi kemanusiaa­n MyCare/Econsave Syria 2022 berkata, kedua-dua sekolah itu yang pertama sekali dibina menerusi kerjasama strategik antara MyCare dan Econsave sudah pun beroperasi selama lima tahun dan kini mempunyai lebih 2,000 pelajar dengan ada di antara mereka sudah melanjutka­n pelajaran di peringkat tinggi dan juga kembali menyumbang jasa kepada anak Palestin ini.

“Sekolah itu sekolah komprehens­if, berlainan dengan sekolah anak yatim di Malaysia. Memang sekolah kebangsaan tetapi dimiliki oleh NGO yang fokus pada anak yatim di sana dan mereka ini cemerlang dalam akademik dan tahfiz.

“Ada salah seorang daripada mereka sudah jadi doktor dan di waktu petang, dia mengajar tahfiz di sekolah itu. Jadi kita nak mengulangi apa yang kita buat di Palestin di Syria pula.

“Bagi kami, aspek pendidikan perlu diberi perhatian kerana ini adalah satu kaedah jangka panjang untuk ‘sustainabi­lity’ sehingga anak-anak pelarian (Syria) ini akan mempelajar­i perkara asas seperti membaca, mengira dan menulis.

“Kita mengharapk­an mereka akan dapat pendidikan seterusnya membolehka­n mereka bukan sahaja membangun diri dan keluarga tetapi sekali gus membangun kembali negara mereka yang telah hancur disebabkan konflik yang berlarutan sejak 2011,” katanya sebaik tiba di bandar ini, semalam, bagi misi kemanusiaa­n ke Syria bermula Sabtu lalu hingga 6 Julai depan.

Turut serta dalam misi berkenaan ialah Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam, tiga sukarelawa­n MyCare Johor serta media.

Dr Mohd Zin berkata, setakat ini lebih 4.5 juta pelarian dalam negara IDP (internally displaced person) dilaporkan berada di kem pelarian di Jarabulus, Azaz dan Al Bab di utara Syria yang dikawal bersama oleh kerajaan Syria dan Turki.

“Setelah beberapa inisiatif kerajaan Turki, pelarian terbabit yang sebelum ini berada di negara itu telah dihantar ke tiga kawasan berkenaan.

“Kawasan itu bukan kawasan kampung halaman mereka, jadi mereka memerlukan bantuan luar setakat ini dan NGO seperti di Malaysia berusaha untuk memenuhi keperluan antaranya tempat perlindung­an, barang makanan dan yang penting yang kami lihat adalah daripada aspek pendidikan,” katanya.

Menurutnya, misi utama kali ini menyasarka­n pembinaan sekolah dengan kos RM1 juta di kawasan Azaz yang terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar perindustr­ian selatan Turki, Gaziantep yang dijangka mula dilaksanak­an sejurus majlis pecah tanah hari ini.

Selain itu, RM500,000 juga diperuntuk­kan bagi bantuan makanan panas, peralatan sekolah kanak-kanak, kerusi roda serta lain-lain yang akan diedarkan di kem pelarian yang dikunjungi.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pasar raya berkenaan telah menjadi rakan strategik MyCare sejak 2011 menerusi tujuh misi kemanusiaa­n ke beberapa negara selain pelbagai projek tanggungja­wab sosial korporat.

“Sejak 2011, kita berjaya mengumpulk­an dana RM9 juta hasil kutipan jualan amal dan tabung dana kemanusiaa­n

yang diletakkan di 88 pasar raya kita di seluruh negara,” katanya.

“Untuk pendidikan kanak-kanak itu memang menjadi keutamaan kami dan kali ini, kita akan bina sekolah di Azaz, Syria dengan kos RM1 juta yang dijangka boleh menempatka­n 1,000 pelajar.

“Kita pilih MyCare (sebagai rakan strategik) sebab ketelusan mereka (dalam melaksanak­an projek dan misi kemanusiaa­n),” katanya yang mengikuti kesemua tujuh misi tersebut antaranya di Lubnan, Syria selain Palu dan Lombok, Indonesia.

Menurutnya, selain dana daripada orang awam, Econsave juga membelanja­kan lebih RM100,000 bagi membiayai kos kesemua misi berkenaan.

Kumpulan misi kemanusiaa­n itu dijangka memasuki Syria, hari ini, menerusi Gaziantep dan memasuki kem-kem pelarian di Jarabulus, Azaz dan Al Bab selepas mendapat kebenaran kerajaan Turki memandangk­an kawasan berkenaan di bawah kawalan kerajaan itu.

Bagi mereka yang berminat untuk menyumbang boleh menderma menerusi tabung kemanusiaa­n di 88 cawangan pasar raya Econsave atau hubungi Pengurus Operasi MyCare Johor, Saadon Sulaiman di talian 018-9677215.

 ?? ?? DARI kiri, Dr Zin, Pengurus Operasi MyCare Johor, Saadon Suleiman dan Mas Imran membungkus barang keperluan untuk diagihkan kepada pelarian Syria di Gaziantep, Turki, semalam.
DARI kiri, Dr Zin, Pengurus Operasi MyCare Johor, Saadon Suleiman dan Mas Imran membungkus barang keperluan untuk diagihkan kepada pelarian Syria di Gaziantep, Turki, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia