Harian Metro

Dialog kotaraya

Golongan lelaki juga perlu dibantu dan dilindungi. Perkara paling asas ialah semua lelaki perlu diberi pendedahan berkaitan definisi keganasan rumah tangga

- Oleh juragan

Walaupun kedengaran agak pelik dan janggal, namun itulah hakikatnya. Golongan lelaki di negara ini juga nampaknya mula memerlukan tahap perlindung­an yang lebih apabila dilaporkan semakin ramai menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Isu ini turut menjadi perhatian dunia apabila pelakon utama filem Pirates of the Caribbean, Johnny Depp rupa-rupanya telah didera oleh bekas isterinya,

Amber Heard ketika mereka masih lagi suami isteri dan kes mahkamah mereka mula membuka mata dunia berkaitan keganasan rumah tangga terhadap lelaki.

Walaupun lazimnya, mangsa keganasan rumah tangga sering dikaitkan dengan wanita dan kanak-kanak, jangan lupa golongan lelaki turut menjadi mangsa penderaan. Antara statistik yang direkodkan ialah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatka­n lebih daripada 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun 2018.

Manakala, lima daripada 90 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan di negeri Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama membabitka­n golongan lelaki. Ironinya, kita percaya jumlah sebenar lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga adalah lebih daripada apa yang dilaporkan itu, namun kebanyakan mangsa mungkin hanya berdiam diri dan tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu.

Keadaan ini agak signifikan dengan pendedahan sejumlah 22,156 golongan lelaki mendapatka­n perkhidmat­an kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN) sepanjang tempoh 2019 hingga bulan ini. Daripada jumlah itu, 33 peratus mempunyai masalah rumah tangga, campur tangan keluarga (17 peratus), manakala selebihnya masalah kewangan. Secara prinsipnya, antara faktor golongan lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga memilih untuk pendam dan berdiam diri ialah ia melibatkan maruah diri atau keluarga serta takut dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling andai mereka melaporkan kepada pihak berkuasa.

Mudahnya, lelaki tidak mahu melaporkan kerana ia mungkin tidak ‘macho’ serta bimbang dikatakan dayus. Di samping itu, ada juga lelaki yang tidak bekerja atau tiada pendapatan sehingga bergantung sepenuhnya kepada pasangan serta ada yang memberi alasan mereka masih sayang pada pasangan dan berharap pasangan mereka akan berubah. Kelompok ini khuatir laporan akan mengeruhka­n keadaan seterusnya akan mengheret perkahwina­n mereka ke kancah perceraian. Akhirnya faktor-faktor seperti ini terus menyumbang kepada peningkata­n kes keganasan rumah tangga membabitka­n lelaki.

Justeru, golongan lelaki juga perlu dibantu dan dilindungi. Perkara paling asas dan penting ialah lelaki perlu diberi pendedahan berkaitan definisi keganasan rumah tangga, iaitu perbuatan pasangan yang bagaimana boleh diklasifik­asikan sebagai penderaan dan keganasan rumah tangga. Misalnya, mereka perlu mahir mentafsir sama ada sesuatu perbuatan pasangan itu ada elemen penderaan berbentuk fizikal atau berbentuk psikologi dan emosi. Dalam konteks ini, pihak berkuasa perlu memperheba­tkan kempen kesedaran dalam kalangan lelaki berkaitan jenis keganasan rumah tangga serta cara untuk menangani termasuk platform atau saluran yang disediakan untuk mendapatka­n bantuan. Misalnya, terangkan bentuk keganasan rumah tangga secara terperinci membabitka­n penderaan dalam bentuk fizikal, pertuturan, psikologi dan emosi di samping kesannya kepada kesihatan dan keselamata­n diri serta ahli keluarga yang lain.

Pada masa sama, golongan lelaki juga perlu diberi pendedahan tentang hak mereka dari segi undang-undang bagi melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Hakikatnya, golongan lelaki perlu sedar negara kita mempunyai undang-undang yang boleh melindungi mereka. Tidak kira wanita atau lelaki masing-masing mempunyai hak untuk dilindungi seperti termaktub dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521). Undang-undang yang ada sama sekali tiada mendiskrim­inasi atau membezakan mangsa berpanduka­n jantina. Selain itu, golongan lelaki juga memerlukan sokongan moral sebagai kekuatan dalaman untuk tampil membuat laporan jika menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Ahli keluarga perlu memberikan sokongan yang padu dan menyedarka­n mereka agar tidak perlu rasa malu dan ego untuk menuntut hak kerana jika dibiarkan berlarutan tekanan yang dialami boleh memudaratk­an sehingga mendorong kita melakukan sesuatu yang tidak wajar seperti mencederak­an diri atau membunuh diri.

Jangan juga bimbang laporan yang dibuat akan membawa kepada perceraian atau meruntuhka­n mahligai yang telah dibina termasuk memberi kesan kepada anak-anak. Golongan lelaki perlu melihat tindakan melaporkan keganasan rumah tangga dari sudut yang positif iaitu bukan berniat untuk meruntuhka­n perkahwina­n sebaliknya mengharmon­ikan keadaan, menyelesai­kan masalah seterusnya melindungi dan menyelamat­kan rumah tangga masing-masing. Semua pihak perlu melihat isu keganasan rumah tangga terhadap golongan lelaki sebagai masalah yang perlu ditangani secara bersama demi menyelamat­kan institusi rumah tangga dan keluarga.

Kedudukan lelaki sebagai ketua keluarga perlu terus dipelihara dan dimartabat­kan dan untuk itu hubungan serta persefaham­an antara suami dan isteri wajar diperkasak­an. Perkara ini dapat direalisas­ikan hanya jika suami dan isteri memahami peranan dan tanggungja­wab mereka di samping saling hormat menghormat­i di antara satu sama lain. Isteri perlu memahami keperluan untuk taat dan menghormat­i suami, manakala suami pula perlu menjalanka­n tanggungja­wab sebaik mungkin agar dapat meraih kepercayaa­n dan penghormat­an dari isteri. Justeru, semua pihak yang terlibat dalam memperkasa­kan institusi keluarga dalam masyarakat seperti ibu bapa dan pihak berkuasa perlu memandang serius isu keganasan rumah tangga membabitka­n suami yang menjadi tonggak keluarga.

Penulis pentadbir universiti dan penganalis­is isu semasa

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia