Harian Metro

UPAH RM9 JAHIT GUNI

Rasaimah pernah dituduh curi bijih timah ketika bekerja sebagai penjahit guni

-

‘ Kisah ini sudah menjadi sejarah buat kampung ini dan sudah pasti tidak berulang kembali serta kini menjadi nostalgia” Mohd Radzi Othman

“Saya masih teringat lagi selepas pengawal keselamata­n menahan saya ketika dalam perjalanan pulang kerana mereka mengesyaki saya mengambil bijih timah,” kata penduduk Kampung Seri Keledang, Rasaimah Suhaimi, 66, yang pernah bekerja sebagai penjahit guni bijih timah.

Rasaimah berkata, setiap pekerja akan ditimbang terlebih dahulu ketika masuk ke tempat penyimpana­n bijih timah dan sewaktu hendak pulang ke rumah bagi mengelak kecurian berlaku.

Katanya, pengawal keselamata­n ketika itu tidak perasan yang beliau sedang mengandung anak ketujuh yang menyebabka­n perut agak membesar dan nampak seolah-olah sedang menyembuny­ikan sesuatu.

“Ketika ditahan oleh pengawal keselamata­n tiba-tiba salah seorang pekerja dan juga rakan saya terus meninggika­n suara memaklumka­n saya tengah mengandung lalu pengawal terus tidak jadi melakukan pemeriksaa­n.

“Ketika itu, upah yang dapat daripada hasil menjahit guni bijih timah hanya kira-kira RM9 untuk separuh sehari dan ia bergantung kepada stok bijih timah serta kadangkala lebih daripada itu bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Beliau yang berasal dari Kampung Kinjang, Tapah, Perak dan berpindah ke kampung ini pada 1973 berkata, pengalaman mengambil upah menjahit guni bijih timah masih segar dalam ingatan dan kini menjadi nostalgia seolah-olah baru semalam berlaku.

Mengenai kemudahan yang terdapat di kampung ini, beliau berkata, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mempunyai banyak jasa membangunk­an kampung berkenaan.

“Ini termasuk pembinaan sekolah rendah, sekolah agama, balai raya, masjid, jalan dan banyak lagi kemudahan penduduk di sini.

“Ramai juga anak muda yang berjaya dan menjawat jawatan tinggi di sektor kerajaan dan swasta tetapi kebanyakan­nya tinggal di luar kampung ini,” katanya.

Beliau yang juga ibu tunggal selepas suaminya, Hamdzah Mat yang juga bekas pekerja SKC meninggal dunia pada tahun 1998 akibat penyakit strok berkata, walaupun kampung ini agak jauh dari pekan terdekat iaitu kira-kira 10 kilometer (km) dari Slim River namun beliau tetap memilih kampung ini untuk meneruskan kehidupan seharian.

Sementara itu, bekas jurukimpal SKC, Mohd Radzi Othman, 61, pula berkata, sesekali bila teringat zaman ketika bekerja di kapal bijih timah beliau akan menceritak­an kembali kepada anak-anak sebagai pengkongsi­an dalam kehidupan.

Katanya, suasana bekerja di kapal korek memang tidak dilupakan di mana semua pekerja bekerja dengan semangat kerja berpasukan dan sering terdengar suara gelak tawa dan gurauan ketika bekerja.

“Kisah ini sudah menjadi sejarah buat kampung ini dan sudah pasti tidak berulang kembali serta kini menjadi nostalgia dalam kalangan bekas pekerja yang pernah bekerja di sektor perlombong­an.

“Generasi muda perlu bersatu hati dan berkerjasa­ma meneruskan kesinambun­gan membangunk­an kampung ini pada masa kini untuk masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

 ?? ?? RASAIMAH (dua dari kanan) beramah mesra dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika beliau melawat Kampung Seri Keledang.
RASAIMAH (dua dari kanan) beramah mesra dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika beliau melawat Kampung Seri Keledang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia