Harian Metro

BERUK GEMAR MAKAN MI KARI

Piuh berusia 39 tahun turut suka makan telur ayam

- Oleh Hassan Omar am@hmetro.com.my

Lazimnya beruk gemar memakan buah-buahan namun lain pula kisahnya beruk berusia 39 tahun milik seorang peniaga di Kampung Londang di sini, yang gemar memakan mi kari.

Beruk jantan yang sudah ‘pencen’ daripada memetik kelapa dinamakan sebagai Piuh, gemar memakan mi kari yang disediakan di warung tuannya, Daud Bakar, 63.

Daud berkata, setiap pagi dia menyediaka­n mi kari untuk Piuh yang gemar memakan mi kari berlaukkan ayam.

“Lazimnya Piuh makan mi dahulu sebelum ayam dan menghirup kuah kari. Piuh tidak gemar memakan sayur dan akan membuang sayur ditemui pada mangkuk mi,” katanya.

Dia berkata, Piuh mula menggemari mi kari selepas dia secara tidak sengaja terbuang sisa mi kari yang dimakan pelanggan ke tempat Piuh ditambat pada pondok kecil di belakang warung.

Katanya, dia terkejut melihat Piuh mengutip sisa mi kari sebelum menjilat kuah kari yang melekat pada rumput.

Sejak itu, selain memberi makan nasi dan telur ayam, Daud menghulur mi kari untuk dijamah haiwan berkenaan. “Pada sebelah tengah hari dan petang, saya beri Piuh makan nasi dan jika ada pisang, saya berikan sebiji atau dua biji,” katanya.

Daud berkata, sejak memelihara Piuh 10 tahun lalu, beruk jantan itu tidak banyak kerenah dan memakan kebanyakan jenis makanan yang diberikan.

Katanya, beruk berkenaan diberikan seorang rakannya yang sebelum itu digunakan untuk memetik kelapa sejak berusia tiga tahun tetapi perkhidmat­annya terpaksa dihentikan selepas mencapai usia 29 tahun.

“Saya tidak akan melepaskan Piuh ke hutan kerana beruk itu tidak tahu mencari makan sendiri. Sudah tentu dia akan dibunuh beruk lain yang sudah biasa dengan kehidupan dalam hutan,” katanya.

Dia berkata, Piuh bijak memecahkan telur ayam dan menuangkan­nya atas pinggan plastik sebelum menjilatny­a hingga licin.

‘ Lazimnya Piuh makan mi dahulu sebelum ayam dan menghirup kuah kari. Piuh tidak gemar memakan sayur dan akan membuang sayur ditemui pada mangkuk mi”

Daud

 ?? ?? PIUH gemar memakan mi kari yang disediakan Daud di Kampung Londang, Masjid Tanah. - Gambar NSTP/ HASSAN OMAR
PIUH gemar memakan mi kari yang disediakan Daud di Kampung Londang, Masjid Tanah. - Gambar NSTP/ HASSAN OMAR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia