Harian Metro

OPTIMIS SIAPKAN 3,000 UNIT RMR

SPNB tekad bantu individu kurang berkemampu­an miliki kediaman sendiri menjelang September depan

-

‘ Ketika ini kerja pembinaan sedang berjalan, kita akan pantau keadaan tersebut supaya RMR akan terus dilaksanak­an”

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) optimis untuk menyiapkan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara menjelang September ini sekali gus memastikan individu kurang berkemampu­an mampu memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata sehingga Jun lepas, pihaknya telah mengeluark­an kesemua inden kepada kontraktor dan hanya menunggu kerja pembinaan yang perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Mungkin juga ada (tempoh) yang terlebih dalam empat ke lima bulan, itu kita akan bantu dari semasa ke semasa mengikut keadaan.

“Ketika ini kerja pembinaan sedang berjalan, kita akan pantau keadaan tersebut supaya RMR akan terus dilaksanak­an.

“Jika mana-mana kontraktor ada masalah, mereka boleh jumpa pegawai kita untuk bincang bagi memastikan impian masyarakat memiliki rumah idaman mereka menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak rumah RMR di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata hampir 150 daripada keseluruha­n 6,900 unit RMR di seluruh negara terbengkal­ai sejak tahun lepas disebabkan kesan pandemik Covid-19, kenaikan harga bahan binaan serta masalah kontraktor yang gagal meneruskan kerja pembinaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 60 unit rumah terbengkal­ai adalah di Negeri Sembilan yang sedang difokuskan SPNB untuk diselesaik­an ketika ini.

Mohd Nizar berkata terdapat beberapa kontraktor terpaksa ditamatkan pelantikan­nya sehingga menjejaska­n tempoh masa menyiapkan RMR terbabit kerana perlu mencari kontraktor baharu bagi memastikan pembinaan dapat diteruskan.

Jelasnya kenaikan harga pembinaan yang dihadapi seluruh negara pada penghujung tahun lepas juga menyebabka­n beberapa inden dikembalik­an kontraktor kepada SPNB sekali gus memberi kesan kepada pemohon yang menandatan­gani perjanjian pada tempoh tersebut.

“Masalah kontraktor ini kadang-kadang sampai lima ke enam kali kita tukar, mereka tak nak buat kita ganti sehingga ada yang boleh buat. Kita juga berbincang dengan kementeria­n mengenai harga bahan binaan, bagaimana kaedah memulihkan dan buat penyelaras­an.

“Alhamdulil­lah pihak kementeria­n bantu kita, contoh kalau dulu isu pembayaran kepada kontraktor kita buat sebanyak dua kali sehingga projek siap, tapi sekarang kita bayar tiga kali supaya dapat bantu kontraktor yang ada masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada peningkata­n nilai bagi RMR berlaku memandangk­an kos setiap unit rumah berkenaan yang berjumlah RM75,000 telah ditetapkan kerajaan.

Bagaimanap­un, jelas Mohd Nizar SPNB telah mendapat kelulusan untuk penyelaras­an saiz keluasan rumah berkenaan yang akan dikecilkan sedikit berbanding sebelum ini bagi menyelesai­kan isu kenaikan kos bahan binaan.

“Penyediaan pemilikan rumah mampu milik yang selesa untuk Keluarga Malaysia merupakan agenda utama SPNB menerusi gagasan ‘Malaysia Berdaya Huni’,” katanya.

Mohd Nizar

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia