"IKUT KATA HATI DAN KEJAR CITA-CITA" -Dayah Bakar

Antara yang memecah kebiasaan di kaca televisyen sebagai pengacara berhijab yang berbakat.

Jelita - - Fokus -

Nama Dayah Bakar kini sudah tidak asing lagi dalam dunia pengacaraan televisyen. Wataknya yang berbeza dengan pengacara berhijab yang lain sudah pasti memberi impak yang besar kepada penonton untuk meminati wanita ini. Anak bongsu daripada lima beradik ini tidak menyangka bahawa dia akan memilih kerjaya sebagai seorang pengacara kerana pada mulanya niat di hati hanya ingin mencuba. “Sebelum menjadi pengacara saya menyambung pelajaran dan mengambil jurusan perundangan di Universiti Islam Antrabangsa (UIA) Gombak. Semasa berada di tahun akhir, saya mendapat tahu bahawa ada uji bakat mencari hos sedang dijalankan. Jadi rakan yang mengetahui minat saya telah membawa saya untuk menyertai uji bakat berkenaan. “Mungkin ia adalah rezeki, saya diterima sebagai hos berkenaan. Bermula dengan rancangan hijabista, saya masih sempat menghabiskan semester akhir sebagai pelajar undang-undang dan bergelar pemegang ijazah. Namun rezeki saya masih di bidang pengacaraan apabila saya memasuki rancangan realiti projek 3R dan dipilih sebagai seorang daripada hos untuk rancangan berkenaan,” katanya. Bagi yang tidak mengetahui, pemilik nama Nur Hidayah Abu Bakar, 28 tahun ini pernah menjadi penyampai radio untuk IM4Ufm selama setahun namun dia menyedari bahawa pengacaraan lebih kena dengan ‘jiwanya’. Dia kini telah mengacara lebih daripada 10 rancangan televisyen selama empat tahun dalam dunia pengacaraan.

SIBUK DENGAN RANCANGAN TERBARU

Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Dayah memberitahu dia sedang mengendalikan rancangan Borak Kopitiam iaitu rancangan terbaru di TV3 yang bersiaran jam tujuh pagi bersama lapan pengacara yang lain. “Saya juga sibuk dengan penggambaran rancangan Sis bersama Heliza Helmi iaitu satu rancangan pengembaraan mengenai mencari ikon wanita yang memberi inspirasi. Kami perlu mengembara di seluruh Malaysia untuk mencari wanita yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain,” tambahnya. Selain itu, dia mula menceburi bidang nyanyian dan bakal melancarkan single terbaru yang berjudul Imamku yang bakal keluar tidak lama lagi. Menurut Dayah, komposer lagu ini adalah dirinya sendiri dan lirik lagu pula dilakukan bersama abangnya Rafiq Abu Bakar. “Sejujurnya saya suka menyanyi. Daripada zaman persekolahan, saya pasti akan memasuki pertandingan menyanyi yang ada. Ketika di universiti pula, saya mencari duit dengan menjadi penyanyi tambahan. Pernah juga buat lagu, tetapi saya tidak pernah keluarkan. Jadi kali ini untuk menjadikan impian menyanyi sebagai satu kenyataan saya keluarkan bajet sendiri untuk merealisasikan impian untuk menjadi penyanyi,” kata Dayah.

BAKAL MENGAKHIRI ZAMAN BUJANG

Ketika temu bual ini dijalankan Dayah memberitahu dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya pada 1 Julai 2018. Pengacara berumur 28 tahun ini tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan jiran di rumahnya, Hanif Hamidi, 28, padahal sudah saling mengenal sejak kecil malah keduanya pernah belajar di sekolah yang sama selama tiga tahun. “Saya dan Hanif belajar di sekolah yang sama ketika kami tingkatan satu hingga tiga dan kami membesar bersama-sama daripada kecil kerana jarak rumah yang dekat. Namun, apabila sudah dewasa, masing-masing mempunyai kehidupan sendiri. Saya masih tidak sangka akan bertemu jodoh dengan dia. “Dia seorang yang sangat bersederhana, merendah diri dan personaliti agak berlainan dengan lelaki lain. Pernah sekali dia mahu membawa saya keluar dan berkata mahu masuk ke rumah untuk meminta izin bapa untuk membawa Dayah keluar. Daripada situ, saya sendiri nampak perwatakan dia sangat berbeza dengan lelaki lain,” tambah Dayah lagi.

Menurut Dayah, Hanif amat memahami dan sentiasa menyokong kariernya sebagai seorang pengacara. Mereka selalu mengamalkan pujian sesama sendiri dalam apa jua perkara yang dilakukan. Ia membantu untuk memahami diri masing-masing dan menguatkan lagi perhubungan mereka.

MENERUSKAN MINAT MENGACARA

Menceritakan semula suka duka selama empat tahun pengacaraannya, Dayah memberitahu bahawa turun naik dalam sesuatu perkara yang dilakukan banyak mengajarnya untuk menjadi lebih kuat dalam menghadapi kehidupan. “Pada mulanya niat hanya untuk mencuba sahaja untuk menjadi hos, saya rasa seronok kerana ini adalah perkara yang disukai. Tetapi ia tak semudah yang disangka, semasa tamat projek 3R saya mula bertanya pada diri sama ada memilih jalan yang betul atau tidak. Pada ketika itu hati saya seronok melihat rakan menjadi peguam dan masuk ke mahkamah. Saya berdoa meminta petunjuk daripada Allah SWT. “Tuhan makbulkan doa saya dan mendapat tawaran menjadi penyampai radio namun ia sedikit berbeza dengan pengacaraan. Jadi saya teruskan selama setahun untuk menghabiskan kontrak saya. Usai tempoh setahun saya tidak menyambung kontrak untuk menjadi penyampai radio kerana hati lebih memilih untuk menjadi pengacara,” kata Dayah lagi. Dia kemudian sekali lagi memohon kepada Tuhan agar membuka jalan buatnya dalam pengacaraan dan ia berterusan sehingga sekarang. Dia bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk mengendali rancangan televisyen.

TIDAK PERNAH KE KELAS PENGACARAAN

“Sejujurnya sebelum ini memang tidak pernah pergi ke mana-mana kelas mengacara namun baru-baru ini diberi peluang untuk menyertai kelas bersama dengan Nur Farahin Jamsari bekas pengacara Nona di bawah Media Prima. “Itu adalah kali pertama saya pergi ke latihan mengacara. Sebelum ini saya hanya buat kajian dengan menonton Youtube akan cara mengacara melalui rancangan televisyen Korea, Indonesia dan juga Hollywood. Pada mulanya memang rasa hendak menyerah kalah tetapi apabila mendapat tawaran saya ambil risiko dan memberanikan diri,” katanya lagi. Bagi Dayah, jalan terbaik adalah menjadi diri sendiri daripada berpurapura kerana sesetengah berpendapat bahawa jika ingin menjadi pengacara berhijab perlu sopan, lemah lembut tetapi dia tidak seperti itu. Impiannya yang masih belum tercapai ialah untuk mengacara sendiri rancangan pengembaraan solo ke luar negara dan juga mengacara anugerah berprestij. Selain itu, dia ingin mempunyai rancangan televisyen sendiri. Buat masa sekarang, dia memiliki perniagaan hijab sendiri iaitu Modesty by Dayah Bakar selain perniagaan makanan iaitu CrispyTempe. Pesan Dayah pada kepada semua wanita yang ingin berjaya ialah tidak perlu rasa takut dan terkesan dengan kata orang sekeliling tetapi perlu mendengar kata hati sendiri kerana perkara yang paling kuat ialah keinginan dan keazaman diri anda sendiri. “Jika anda percaya pada diri, bekerja keras dan jika Tuhan mengatakan ia adalah rezeki, InsyaAllah anda boleh lakukan tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun. Jangan jadikan alasan atau faktor umur sebagai penghalang kepada kejayaan anda,” katanya.

“Jika anda percaya pada diri, bekerja keras dan jika Tuhan mengatakan ia adalah rezeki, InsyaAllah anda boleh lakukan tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun. Jangan jadikan alasan atau faktor umur sebagai penghalang kepada kejayaan anda.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.