Datin Alyah & Faezah Elai Latar Belakang Berbeza, Pegang Misi Serupa

Sama cantik sama padan. Pepatah yang sesuai diungkap untuk kedua gura terkenal ini. Berkongsi pengalaman yang lama dalam bidang hiburan, Datin Alyah dan Faezah Elai antara wajah senior yang banyak berbakti merancakkan industri hiburan tanah air.

Jelita - - Contents -

Oleh kerana kedua-duanya berperwatakan menarik serta berpegang teguh terhadap apa yang dilakukan, hal ini membuatkan Jelita tertarik untuk menyatukan kedua wirawati ini dalam satu sesi penggambaran halaman depan. Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau mesra dipanggil Alyah adalah satu nama yang cukup dikenali. Masakan tidak, vokalnya dalam bidang nyanyian mampu memukau ribuan penonton. Sehingga kini, wanita berusia 37 tahun ini masih meneruskan legasinya demi cintanya terhadap kerja dan peminat.

PERKEMBANGAN TERBARU

“Setiap tahun saya memang akan keluarkan album single baru. Untuk tahun ini saya ada Jutaan Purnama hasil kolaborasi dengan Warner Music. InsyaAllah dalam waktu terdekat ini, saya akan keluarkan muzik video di mana kita akan bergandingan dengan seorang aktor yang pernah menjadi fenomena dalam video klip saya suatu ketika dahulu iaitu Remy Ishak. Kalau cerita Hindustan kita ada Dilwale yang merujuk kepada kisah lama Kuch Kuch Hota Hai, di Malaysia kita ada Jutaan Purnama cetusan idea daripada Kisah Hati, album yang banyak meraih anugerah. Lagipun, peminat rindukan lagu itu. Idea ini juga dipakai dalam program televisyen Gegar Vaganza dengan penampilan veteran seni yang membuat kemunculan semula. Sudah tentu peminat rindukan mereka seperti mana mereka rindukan Kisah Hati,” katanya membuka bicara. Tambahnya lagi, kehidupannya sekarang sebagai isteri dan peniagawati semakin teratur dan membolehkan dia menumpukan perhatian lebih kepada bidang nyanyian. “Sejak menjadi isteri Datuk Ramli MS (pengarah muzik), Alhamdulillah, kami sudah mula kenal hati budi. Kini, saya juga melibatkan diri dalam perniagaan kosmetik iaitu Alyah Beauty Cosmetics. Oleh kerana jadual harian agak sibuk jadi bisnes ini lebih dipantau rakan perniagaan supaya saya boleh lebih fokus pada kerjaya,” katanya. Selama 18 tahun bergelar anak seni sudah tentu sarat dengan pengalaman yang cukup mematangkan dirinya. Ada kalanya manis dan ada juga yang terasa pahitnya.

KENANGAN TERINDAH

“Pada 2011, saya pernah membuat persembahan untuk permaisuri Thailand di Bangkok. Satu daripada momen yang tidak dilupakan adalah adab masyarakat di sana bila bertemu dengan permaisuri mereka. Bayangkan, bila kita mahu menghadap permaisuri, anda perlu mengensot sepanjang beberapa kaki sebelum menghadapnya. Selain itu, memakai pakaian berwarna hitam juga diharamkan sebab ianya melambangkan kematian.” “Beberapa persembahan mewakili negara seperti di Hanoi, Vietnam dan di Dubai turut menjadi kenangan manis yang tidak dilupakan. Sewaktu ke Thailand untuk menghadiri

jemputan nyanyian, mereka tempatkan saya di kelas pertama penerbangan Thai Airways. Semua layanan yang diberikan memang bertaraf lima bintang! Saya terfikir mungkin macam ini juga layanan yang diberikan kepada penyanyi Hollywood yang mendapat jemputan untuk membuat persembahan di sana,” ujarnya.

KAHWIN SENYAP

Biasanya, perkahwinan diwar-warkan dengan besar-besaran apatah lagi jika yang empunya nama seorang selebriti kesayangan ramai. Namun, Alyah dan Ramli memilih untuk tidak menghebohkan ikatan sah itu. “Saya bukan senyap, keluarga kedua belah pihak tahu. Saya anak perempuan bongsu dalam keluarga dan sudah tentu ibu saya mahukan perkahwinan gah tapi Allah SWT lebih tahu apa yang terbaik untuk saya. Saya kahwin tanpa ada majlis besar cuma nikah sahaja dan melalui kehidupan tanpa pengetahuan orang lain. Ini adalah permintaan suami dan sebagai isteri saya cuma mengikut kehendak suami.” “Itu yang dimahukan dan saya harus menghormatinya. Di samping itu, saya diberi penjelasan untuk memperuntukkan masa dan ruang agar masing-masing mampu saling mengenali seterusnya mencari masa yang sesuai untuk umumkan pada orang tetapi ia tidak berlaku seperti dirancang. Setelah tiga tahun kahwin orang sudah mula terhidu hubungan kami,” kongsi penyanyi yang popular dengan lagu Sesal Separuh Nyawa ini.

RUMAH TANGGA PERNAH DILANDA BADAI

Sepanjang melayari bahtera rumah tangga, salah faham adalah perkara biasa. Meskipun nampak sempurna di kaca televisyen, Alyah sama seperti insan lain yang memiliki khilaf sendiri. “Masa mula kahwin memang ada ombak besar yang melanda. Semua orang tahu saya dilanda masalah rumah tangga. Kami bergaduh sehingga hampir memutuskan hubungan setelah tiga tahun bersama. Badai itu datang tanpa dijangka sebab saya tidak pernah berkahwin dan tidak pernah melalui fasa itu, jadi saya terkejut.” “Masa itu, dalam fikiran, saya rasakan pengorbanan ini terlalu banyak dan mula terfikir untuk apa saya berkorban? Semua ini berlaku kerana saya masih tidak kenal diri saya lagi. Bila orang sekeliling beri sokongan, nasihat positif dan saya mula belajar kenal diri sendiri perlahan-lahan saya sudah boleh sesuaikan diri dengan suami. Saya kena terima dia apa adanya dan macam itu juga dia terima saya dengan keadaan diri saya,” ceritanya lagi.

KEHIDUPAN SEBAGAI ISTERI DATUK RAMLI MS

Ketika ditanyakan soalan mengenai dakwaan suaminya seorang kaki perempuan, Alyah tidak sedikit pun melatah bahkan yakin dengan jodoh yang diberikan Allah SWT. “Saya berkahwin dengan orang yang dikenali dan mempunyai ramai peminat. Terkadang tidak dia suka, tetapi orang pula yang mencari. Yang mencari itu pula lebih ramai, saya tahu hakikat itu. Saya mengamalkan sikap tidak endah dan sentiasa yakin dengan jodoh yang diberikan. Setakat ini, Alhamdulillah setelah kami sudah saling mengenali, cinta kami kukuh sehingga kini,” jelasnya. Tidak cukup dengan itu, Alyah turut menangkis tanggapan sesetengah pihak yang melabelkan suaminya mulut celupar. “Sebelum saya kenal dia pun, dia memang macam itu. Saya tidak pernah kenal dia sebelum ini jadi memang tidak tahu sifat dia begitu. Dulu masa baru kenal, saya pun takut nak menyanyi. Bila sudah lama kenal dan menjadi isterinya, saya ada juga tegur dia. Saya pernah kata, ‘Awak kata orang gemuk, awak tidak fikir ke bini awak ni gemuk ke tidak?’ selepas itu, dia akan cakap semua itu hanya gurauan,” jelasnya lagi. Tambah Alyah, sikap seperti ini bukanlah sesuatu yang baru malahan orang lama dalam industri ini sinonim dengan karakter berkenaan dan ianya bukanlah hanya melibatkan suaminya sahaja. “Kalau orang tidak tahu memang orang ingat dia mulut laser tapi sebenarnya itu cara dia bergurau. Mungkin agak kasar tapi itu lah Tokram (nama sapaan Datuk Ramli MS). Arwah bapa saya ada sikap gurau kasar sama macam suami saya. Sebab itu saya tidak terkejut atau mudah melatah kalau personalitinya seperti ini juga. Saya rasa orang lama memang macam itu bukan sahaja Tokram.” “Bila tidak kenal, memang takut hendak mendekati tetapi bila sudah tahu, mereka ini boleh sahaja diajak berbual dan sebagainya. Pada saya, jangan ambil hati dengan apa yang dikatakan sebab dia tiada maksud lain di sebaliknya. Apa juga yang netizen kecam pasal Tokram, saya dah cukup lali dan mengabaikan tanggapan mereka adalah keputusan terbaik yang saya pilih.”

KEKAL RELEVAN HINGGA KINI

Hampir 20 tahun meniti nama di persada dunia bukan sesuatu yang mudah. Hari bersilih hari, tahun berganti tahun. Cukup masa, penyanyi lama akan dilupakan. Bagi memastikan dirinya kekal relevan, Alyah terus memberikan vokal yang berkualiti terutama bila perlu bernyanyi secara langsung. “Saya memilih sentiasa bersedia untuk apa yang akan tiba. Walaupun orang kata saya sudah layak bergelar diva, saya tetap belajar untuk mantapkan diri. Hendak rebrand balik nama sendiri memang senang, tetapi yang sukar adalah cara anda mahu terus relevan. Sehingga kini saya masih berjuang dan akan terus berjuang. Selepas saya keluar daripada pertandingan RTM yang diadili juri tersohor, saya mengakui kebolehan saya menyanyi secara langsung. Saya juga sentiasa pastikan lagu yang dipilih sesuai dengan suara saya. Bukan untuk mendabik dada tapi anda perlu tahu kekuatan diri. Biar pesat mana sekalipun perkembangan muzik tanah air, tapi anda masih kena ada kualiti muzik video, lagu dan pasukan yang bagus,” ujar Bintang HMI ini.

8

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.