Adab & Etika Bertutur Biar Beralas

Aidilfitri kian berlalu, namun ingatan dan kenangan bertemu sanak saudara mahupun keluarga tercinta pasti masih berbekas di dalam fikiran. Betapa ingatan yang manis itu sukar dilupakan.

Jelita - - Contents -

Pernahkah anda terasa calar pada hati lantaran teguran atau perbualan yang tidak disengajakan ketika bersua saudara mara mahupun teman semasa pulang beraya sebelumnya? Persoalan ini mungkin remeh, tapi besar kesannya kerana ia tentunya mengakibatkan anda serik untuk berjumpa dengan mereka lagi atau mereka sudah tawar hati untuk berjumpa dengan anda akibat keceluparan kala berkata-kata. Justeru, penting untuk anda berhatihati sebelum meluahkan pertanyaan, menegur, berbual mahupun bergurau senda kerana lidah itu lembut tapi menjadi tajam apabila anda silap berkata-kata. Begitu juga hati, lembut sifatnya, namun berupaya menjadi keras seperti batu apabila tercalar luka atau ditegur secara melulu. Yang pasti, jaga dan ketahui etika bertutur sama ada dalam kalangan teman rapat atau kelompok keluarga sendiri. Tidak mustahil dengan saudara yang sama darah daging pun anda akan terasa hati jika mereka berkata dengan cara yang kasar atau tidak berasas. Paling perlu diberi perhatian ialah apabila berbual dengan rakan atau sahabat handai yang sudah lama tidak berjumpa. Elak bertanya hal peribadi terlebih dahulu sekiranya anda tidak tahu letak duduk perkara sebenar mengenai diri mereka. Mungkin juga apabila memikirkan anda adalah kenalan rapat mereka, maka anda boleh bertanya apa saja pertanyaan yang terlintas di fikiran pada masa itu. Bukan tidak boleh bertanya, lebih baik jika anda hanya bertanya perkara asas terlebih dahulu seperti bertanya khabar dan hal umum. Kemudian apabila sudah berasa selesa dan suasana makin mesra, barulah boleh berganjak kepada soalan yang lebih bersifat peribadi sekiranya ada. Perbualan mengenai nikah kahwin atau anak umpamanya adalah satu perkara sensitif bagi kebanyakan individu. Lebih-lebih lagi, persoalan mengenai zuriat dan nikah-kahwin yang termasuk dalam kategori jodoh serta rezeki itu bersifat peribadi kerana bagi bagi Muslim, ia adalah perhitungan antara diri dan Sang Pencipta. Bahkan tidak keterlaluan dikatakan apa bangsa sekalipun agak peka dengan persoalan dan pertanyaan ini. Jadi sebelum ada yang tercalar perasaannya, sama ada mereka itu adalah sahabat baik atau rakan rapat sekalipun, lebih baik anda menjadi insan yang peka perasaan orang sekeliling dan tahu bila masa sesuai untuk mengajukan soalan cepu emas yang dimaksudkan. Andai kata rakan rapat sekalipun, berhati-hati dan berhemahlah dalam berbicara kerana tutur kata yang tersusun rapi dan tidak menyentuh perasaan itu lebih baik daripada gurau senda ketara dengan sebutan tidak manis seperti bodoh, lembap, ‘peghak’ mahupun ‘bingai’. Empat perkataan ini boleh saja dianggap gurau senda jika anda benar-benar akrab dan rapat dengan si anu atau si polan, namun sebagaimana pergaulan, pertuturan juga perlu ada batas kerana sebagai individu berbudaya serta berpaksi pada adat, tutur kata adalah bayang kepada jati diri. Elok tutur kata, maka indahlah pekerti. Sekali anda berkata-kata biar orang mengingati kata yang manis dan sedap didengar itu sampai bila-bila.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.