Fokus Jelita Bersama Sheahnee Lee, Ili Zawani , Dayah Bakar dan Feeya Iskandar

Bagi wanita kecil molek ini, kritikan dan kecaman yang diterima menjadikan dia seorang yang lebih kental dan positif.

Jelita - - Contents -

Bagi mereka yang gemar mendengar radio sudah pasti mengenali suara wanita genit ini iaitu Feeya Iskandar atau lebih mesra dengan panggilan Cik Piah yang sering mewarnai corong radio. Sedia maklum dia kini berkhidmat dengan Suria FM setelah kembali daripada cuti bersalin. Pemilik nama Nor Shafiza Iskandar Azizan ini sebelum ini adalah penyampai radio Sinar FM dan bermula sekitar 2013 digandingkan bersama Salih Yaakob menerusi segmen Santai Sinar. Setelah hampir enam tahun, dia berhasrat untuk mencabar diri dan seterusnya keluar daripada zon selesanya. “Saya menginginkan perubahan dan ingin mencuba perkara baru jadi tidak salah untuk berhijrah ke stesen radio lain mencari pengalaman baru disini. Saya mengendalikan segmen Gaya Suria yang bersiaran pada jam 10 pagi sehingga satu tengahari di mana, kami berkongsikan tip kekeluargaan, kesihatan, kewanitaan serta beberapa informasi dunia hiburan terkini,” katanya.

TIDAK MENANG TANGAN..

Selain sibuk di konti studio menjadi penyampai radio, Feeya kini kembali aktif menjalankan perniagaan kosmetik kecantikan sendiri iaitu Feeya Beauty Foundation. Dia baru saja kembali bekerja setelah berehat selama dua bulan selepas melahirkan anak keduanya. “Alhamdulillah walaupun sibuk menguruskan perniagaan dan juga berada di konti, saya masih dapat membahagikan masa serta menguruskan anak. Jika saya mempunyai kerja, saya akan meminta bantuan sepupu untuk menjaga mereka. Sebolehnya saya dan suami akan menguruskan mereka sendiri hinggakan sanggup mengangkut kedua-duanya ke jemputan acara supaya mereka tidak dibiar terperuk di rumah. “Pengalaman menjaga dua si kecil yang jarak usianya hanya setahun agak mencabar. Pada mulanya, memang agak penat untuk saya dan suami menguruskan mereka tetapi lama-kelamaan saya mendapat tempo cara untuk menguruskan ragam keduanya. Bagi saya, memiliki mereka berdua adalah anugerah terindah yang pernah saya terima dan seronok kerana menjaga mereka sambil melihat telatah masing-masing,” jelasnya lagi. Menurut Feeya lagi, suaminya, Nurashid Abd Wahab, 31, sangat membantu dalam menjaga anak ketika dia berada di konti pada jam 10 pagi sehingga 1 tengahari. Jadi, sepanjang waktu berkenaan suami Feeya akan menjaga mereka jika dia tidak mempunyai kerja yang banyak. “Suami saya sendiri yang menjaga anak pertama kami semasa saya masih berpantang. Kami tidak pernah menghantar anak ke nurseri atau mencari pembantu rumah. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang memahami kerjaya dan banyak membantu walaupun dia sendiri sibuk dengan kerjayanya,” kata Feeya lagi.

TERIMA KASIH KERANA TERIMA SAYA..

Sebagai selebriti yang dikenali ramai, Feeya juga tidak terlepas daripada menerima kecaman dan kritikan daripada ramai orang namun dia hanya menganggap ia sebagai pengajaran untuk menjadi lebih baik. Dia juga pernah dipalit kontroversi kerana dikatakan menganggu suami orang. Pada ketika itu, dia masih belum mendirikan rumah tangga. Akibat kontroversi berkenaan, dia terpaksa memuat naik gambar suaminya untuk mengelakkan ia menjadi lebih buruk. “Siapa yang mahu ingat pengalaman pahit, apabila diri dikutuk, dikecam dan dihina namun saya tidak ambil pusing sebaliknya menganggap sebagai iktibar. Saya bangkit semula menjadi seorang yang lebih postif dan belajar menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. “Saya juga bersyukur kerana ramai yang sudah boleh menerima kehadiran saya dalam dunia radio. Agak susah untuk membina nama Cik Piah dalam industri ini. Berkat kesabaran yang ditunggu akhirnya penantian itu berbaloi dan nama Cik Piah semakin dikenali ramai,” ujarnya. Selain menjadi penyampai radio, Feeya juga aktif menjadi pengacara jemputan untuk majlis makan malam atau acara majlis pelancaran dan sebagainya.

PUNYA IMPIAN BESAR..

“Setiap manusia pasti mempunyai impian dan bagi Feeya sendiri impian besar yang masih belum dapat dicapai ialah memiliki butik dan produk kecantikan saya sendiri. Saya ingin menjadi usahawan yang berjaya seperti Datuk Seri Vida dan juga Datuk Aliff Syukri. Bukan itu saja, saya juga berharap agar perniagaan yang sedang diusahakan ini berjaya dan mendapat tempat di pasaran kecantikan,” katanya. Jika diingat semula, Feeya berkata dia tidak pernah terfikir untuk menceburkan diri menjadi penyampai radio. Segalanya bermula dengan anak wayang namun dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon. Jadi dia mengambil keputusan untuk mencuba uji bakat menjadi penyampai radio dan akhirnya diterima. “Sekarang di Suria FM saya mengendalikan segmen secara berseorangan. Saya tidak mempunyai masalah mengenai itu kerana seawal menceburi bidang ini, saya diberi kepercayaan untuk mengendalikan segmen seorang diri. Sekiranya mempunyai rakan gandingan saya sedia menerimanya kerana ianya lebih seronok kerana kami dapat bergurau senda,” tambahnya lagi. Pesanan Feeya kepada para wanita di luar sana yang ingin berjaya jangan sesekali cepat putus asa. Teruskan berusaha dan mencuba jika gagal jangan takut untuk mencuba kali kedua dan seterusnya sehingga berjaya.

Sebagai selebriti yang dikenali ramai, Feeya juga tidak terlepas daripada menerima kecaman dan kritikan daripada ramai orang namun dia hanya menganggap ia sebagai pengajaran untuk menjadi lebih baik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.