Bila Tubuh ‘Menjerit’ Minta Perhatian

Jelita - - Catatan Editor - Anida Salwani, Editor jelita@bluinc.com.my

Saat saya menaip naskhah pendek ini, tubuh tidak begitu sihat, sedang selesema hingga perlu menelan antibiotik. Sedikit tidak menyedari yang hampir setiap bulan saya perlu menemui doktor untuk mendapatkan ubat itu ini. Sekejap batuk, sekejap hidung tersumbat, tangan terseliuh, pinggang sakit, aduh... Faktor usia sungguh! Tersentak seketika bila seorang teman Editor menegur, “you kena perlahankan rutin, asyik dengar sakit saja...” Allahuakbar! Ada betul katanya. Sejak tiada pembantu rumah Ramadan lalu, jadual harian jadi lebih padat daripada dulu. Sambil memikir hal pejabat, kepala berputar menyusun langkah demi langkah apa hendak buat di rumah sebaik memadam enjin kenderaan di parkir. Bila di rumah, atur pula rutin di pejabat untuk keesokan harinya, malah saya mengaku, sambil menunggu lauk masak, sempat juga periksa emel kerja. Tanpa saya benar-benar sedari, rutin padat ini agak memakan diri. Jangan salah sangka, saya amat suka dengan apa yang saya lakukan, di pejabat mahupun di rumah. Seronok dapat menguruskan hal kerja dengan team Jelita yang komited pada masa sama, dapat berikan sentuhan sendiri untuk tugasan di rumah yang selama ini diuruskan pembantu (selit: tabik hormat kepada para ibu bekerja tanpa orang gaji yang terlebih dulu berpengalaman dalam bidang ini!). Namun, bila tubuh mula merungut, menunjukkan belangnya hingga terbaring kelesuan, ini bermakna rutin yang saya anggap ideal ini, perlu diubah. Istighfar pada Ilahi, kenapa melenjan tubuh diberiNya sebegitu rupa? Bukankah fizikal ini juga amanah dan pemberianNya juga? Turunkan gear, berikan masa untuk tubuh berehat dan sedarkan diri, ‘enjin’ tidak lagi semuda dulu... Dengan rendah hatinya saya ingin sama-sama mengingatkan, bila petanda sebegini mula memunculkan diri, sudah tiba masanya untuk anda berhenti, tarik nafas dan nilai semula situasi. Apa yang anda inginkan (pasti ada jawapannya jika benar-benar meneliti)? Bagaimana hendak mencapainya? Perlukah anda memohon libur dan menjauhi diri daripada tuntutan kerjaya? Malah, anda juga layak ‘bercuti’ daripada peranan sebagai ibu dan isteri. Ajak rakan baik untuk minum petang mewah sebagai hadiah buat diri atau mencuba kafe aiskrim baru (selak halaman Makan di Mana untuk cadangan Jelita) tidakpun bercuti bersama teman di hotel dalam bandar jika tidak mampu berjauhan daripada keluarga. Jelita ada banyak cadangan untuk masa-sendiri yang pasti anda sukai menerusi laman web herinspirasi.com yang kini turut dikuasakan majalah Shape, selain The Malaysian Women’s Weekly dan Her World. Jangan ketinggalan membacanya setiap hari!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.