Fokus Jelita Kemurungan Menggugat Keimanan

Tanpa bantuan daripada ibu bapa, jiwa dan emosi anak yang tidak stabil mudah dihasut akan gangguan syaitan dan menyebabkan putus asa serta hilang semangat.

Jelita - - Contents -

Kemurungan adalah satu perkara yang serius. Kesihatan mental juga adalah perkara penting yang perlu dijaga kerana ia melibatkan jiwa dan hati. Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi generasi yang cergas, cerdas dan bersemangat untuk menghadapi ragam kehidupan yang semakin mencabar. Kekuatan yang ada pada diri perlu dibentuk dengan melengkapkan keperluan fisiologi dan mentaliti.

Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud : “Wahai manusia yang telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran

daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” Profesor Madya Dr Ramli Musa, Pakar Psikiatri dan Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkongsi bagaimana mengendalikan kemurungan menurut perspektif agama.

KESEIMBANGAN JASMANI DAN ROHANI

Di dalam Islam, elemen psikologi sangat dititikberatkan. Kepentingan unsur psikologi ini dipaparkan dengan kefahaman bahawa manusia itu dicipta daripada dua ciri utama iaitu jasmani dan rohani. “Salah faham yang sering ditafsirkan ialah rawatan Islam hanya merujuk kepada rawatan tradisional. Namun rawatan moden seperti menggunakan khidmat kaunseling, psikoterapi dan ubat moden juga tergolong dalam perubatan Islam,” katanya. Islam tidak menolak teori bahawa seseorang itu mendapat sesuatu penyakit psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia adalah disebabkan pelbagai faktor. Ia termasuk faktor keturunan (genetik), cara didikan oleh ibu bapa, personaliti, kelemahan iman dan kurang beribadat serta bencana hidup menyumbang kepada seseorang itu mendapat penyakit psikiatri.

KANAKKANAK MUDAH TERGANGGU JIWANYA

Berbalik kepada gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa sewajarnya membawa si anak untuk mendapatkan pertolongan profesional. Ini kerana kemurungan bukan tekanan normal, tapi ia adalah sakit yang tidak kelihatan. Ada pendekatan dan terapi khusus yang boleh merawat dan membantu anak. Namun tidak sepatutnya ibu bapa membawa mereka berjumpa dengan ustaz atau perubatan Islam semata–mata tanpa disokong rawatan psikologi. Ilmu yang Allah berikan kepada manusia ini luas jadi jangan hanya melihat pada satu jalan penyelesaian sahaja. Bukan hendak menidakkan perubatan Islam tetapi cara penyampaian yang tidak kena dan menakutkan seolah-olah syaitan, saka dan sebagainya itu lebih berkuasa daripada Allah. Jadi anak ini akan bertambah takut malah mungkin semakin teruk kemurungannya.

Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 152-153 bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undangundangKu), supaya aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”.

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.”

Kanak-kanak itu tidak bersalah kerana kadang-kadang kemurungan itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada keluarga itu sendiri. Jangan terlalu membebani anak dengan tanggungjawab untuk mencapai apa yang ibu bapa mahu. Sesetengah ibu bapa mengharapkan anak mendapat keputusan yang baik tetapi anak pula tertekan kerana tidak mampu untuk melunaskan impian. Ibu bapa perlu belajar untuk mendengar dan memberi ruang kepada anak untuk berkongsi apa yang dirasai mereka. Anak pasti akan dapat menerima teguran dan nasihat. Sentiasa bercakap dengan baik kepada anak boleh membantu membentuk peribadi anak menjadi lebih cemerlang. Yakinlah bahawa setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membebankan umatNya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung. Jadikan cabaran hidup sebagai penguat diri untuk menjadi insan yang lebih baik kerana umat yang sentiasa diuji adalah umat yang dikasihi Allah SWT.

Ibu bapa perlu belajar untuk mendengar dan memberi ruang kepada anak untuk berkongsi apa yang dirasai mereka. Anak pasti akan dapat menerima teguran dan nasihat. Sentiasa bercakap dengan baik kepada anak boleh membantu membentuk peribadi anak menjadi lebih cemerlang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.