Santapan Jiwa Pentingkah Wanita Membayar Zakat?

Ramai wanita bekerja kerana ingin membantu ekonomi keluarga, maka daripada sumber yang bersih itu akan lebih berkat sekiranya kewajipan zakat dapat ditunaikan.

Jelita - - Contents -

Peranan wanita dalam membayar zakat sering menjadi bahan perbincangan, sama ada golongan ini perlu membayar zakat atau tidak. Mengikut peredaran zaman, wanita kini sudah dianggap sebagai penyumbang kepada sesebuah ekonomi negara maka dia layak dan perlu membayar zakat. Ustazah Nurul Hidayah Kamarudin, Eksekutif Kanan Zakat di Pusat Pungutan Zakat (MAIWP) menjelaskan secara terperinci.

WANITA & ZAKAT

Secara umumnya zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat yang telah ditetapkan syarak. Manakala zakat harta ialah mengeluarkan kadar tertentu daripada harta tertentu kepada asnaf yang sudah ditetapkan mengikut syarat tertentu. Zakat ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu zakat emas dan perak, zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat ternakan, zakat saham, zakat KWSP dan zakat pendapatan. “Zakat adalah satu ibadat yang tidak melihat kepada jantina seseorang. Tiada syarat yang menyebut bahawa hanya lelaki wajib membayar zakat. Bahkan kanak-kanak dan insan yang tidak waras juga wajib dizakatkan harta dan perlu diuruskan wali mereka,” kata Hidayah. Justeru, jelas di sini menunjukkan bahawa tidak kira sama ada wanita atau lelaki perlu memenuhi kewajipan membayar zakat. Situasi ini jelas menunjukkan dalam masyarakat sekarang di mana wanita terlibat secara langsung mencari rezeki termasuk mereka yang bekerja dari rumah. Oleh itu ia menunjukkan wanita mempunyai pendapatan sendiri dan dianggap sebagai empunya harta.

EGO SUAMI TERCABAR KERANA ZAKAT?

Sebagai suami, sudah menjadi kewajipan untuk membayar zakat fitrah untuk mereka yang dinafkahinya. Namun, tidak salah jika isteri berkemampuan dan dengan rela hati ingin membantu suami dengan membayarkan zakat fitrah. Ego sebagai suami sepatutnya tidak tercabar jika isteri membayarkannya malah sewajarnya si suami menumpang bahagia apabila isterinya berzakat. “Suami juga perlu mengingatkan isterinya akan kewajipan zakat yang ada pada pemilikan isteri seperti perhiasan, pendapatan, saham dan sebagainya yang termasuk dalam zakat harta. Wajib bagi suami membimbing isteri untuk menunaikan zakat supaya tidak lalai atau enggan membayar zakat,” tambahnya.

Firman Allah SWT Jagalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu (Surah At-Tahrim, Ayat 6)

PERANAN PENTING WANITA BERZAKAT

* Wanita Selaku Pengurus Kewangan Dalam Keluarga Dalam sesebuah keluarga isteri yang banyak membantu menguruskan kewangan keluarga. Isteri adalah insan yang paling layak mengetahui keperluan dan kehendak anak dan suami. Jadi isteri yang tidak memahami konsep dan falsafah zakat akan menjadikan perbelanjaan tidak boros dan hanya mementingkan kehendak ahli keluarga sahaja manakala isteri yang faham akan zakat

dan sedekah hanya akan berbelanja dengan berhemah lantas membawa keberkatan dalam kewangan keluarga. Ini adalah tanggungjawab yang besar dan penting bagi seorang wanita. * Penasihat Suami Suami kebiasaannya adalah tunggak utama mata pencarian sesebuah keluarga namun isteri menjadi penasihatnya. Isteri yang solehah akan mengingatkan suaminya apabila tiba waktu haul dan membayar zakat. Penasihat yang baik akan menjadikan suami tidak lupa untuk menunaikan Rukun Islam ketiga ini. Jangan biarkan suami bergelumang dengan hak orang lain dalam hartanya. * Jalankan Tanggungjawab Diri Sendiri Peranan penting seterusnya ialah wanita atau isteri sendiri menunaikan zakat atas pemilikan harta dirinya. Isteri tidak perlu mengharapkan suami utuk menolong membayarkan zakat hartanya kecuali jika suami sendiri rela hati untuk membayarkannya. Namun adalah lebih baik jika isteri sendiri menunaikan tanggungjawab berkenaan dan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah dan dijauhkan azab yang pedih. Terdapat hadis daripada Rasullulah SAW yang menyarankan kepada wanita agar memperbanyakkan berzakat kerana Baginda melihat ramai wanita yang berada di neraka. Jika dijalankan tanggungjawab berkenaan akan dapat menghapuskan dosa seperti mengkufuri nikmat suami dan menabur fitnah maka adalah dituntut agar wanita berusaha mendekatkan diri kepada sedekah dan berzakat.

Bagi mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut, layari www. zakat.com.my/kempen atau di Facebook Pusat Pungutan Zakat serta menghubungi talian zakat di 1-300-88-5757

Ustazah Nurul Hidayah Kamarudin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.