Titik Hitam Bahana Cari Jodoh Dalam Talian

Niat di hati mencari suami, keinginan berumah tangga membuak-buak. Kesalnya tiada kesudahan bila niat suci itu diambil kesempatan lelaki berhidung belang.

Jelita - - Contents -

Bila usia menjangkau 20an, menggeletis di hati mahu berpasangan seperti orang lain. Ditambah pula usikan nakal keluarga yang berusia, bertanya perihal jodoh dan perkahwinan. Perkara sama dilalui *Atikah RIzal, 29, yang tidak terkecuali diajukan soalan sedemikian daripada saudara-mara dan kenalan. Namun, tiada siapa yang tahu punca dia begitu sukar menerima sang pria dalam hidupnya. Segala-galanya berpunca daripada portal mencari jodoh. Tiga tahun lalu, dia berjumpa dengan rakan sekolah yang sudah mengikat tali pertunangan bersama seorang lelaki yang dikenali melalui portal mencari jodoh untuk muslim. Pada ketika itu, Atikah langsung tidak mengetahui mengenai kewujudan portal sebegitu. Melihatkan pengalaman temannya yang begitu menggembirakan, timbul keinginan untuk mencuba sendiri kerana mana mungkin dia mahu menjadi individu terakhir mendirikan rumah tangga di kalangan rakannya. “Boleh dikatakan pada ketika itu, saya terikut akan trend berkahwin awal seperti yang dilakukan kebanyakan rakan saya. Ditambah tekanan daripada keluarga menyebabkan saya mencari jalan untuk mencuba nasib di portal mencari jodoh berkenaan,” kata Atikah memula bicara.

MULA DAFTAR DIRI

Setelah melakukan kajian dan pencarian di Internet, dia menjumpai beberapa portal mencari jodoh yang dikatakan selamat dan ramai yang mengesyorkan portal berkenaan. Tanpa menunggu dia akhirnya mendaftar diri sebagai calon di laman web berkenaan. “Laman portal itu cukup mudah digunakan. Anda hanya perlu memuat naik beberapa butiran peribadi seperti nama, usia, pekerjaan, negeri asal dan tahap pendidikan berserta gambar saya untuk dipaparkan di portal itu. “Selepas sehari, akaun saya diluluskan dan boleh melakukan pencarian jodoh melalui portal berkenaan. Saya ada menerima beberapa notifikasi daripada beberapa lelaki yang ingin berkenalan namun semuanya tidak berkenan di hati malah, terdapat beberapa lelaki yang cuba untuk terus berjumpa walaupun baru berkenalan. Jujur ketika itu saya agak takut kerana bimbang terjadi perkara yg tidak diingini,” katanya.

DETIK PERKENALAN

Setelah hampir sebulan mencuba nasib, Atikah menerima notifikasi daripada seorang lelaki bernama *Khairul Azlan yang ingin berkawan dengannya. Menurut Atikah, Azlan seorang jurutera di sebuah syarikat terkemuka di Kuala Lumpur. Pada mulanya, wanita itu bersikap dingin terhadap Azlan kerana tidak mahu terlalu rapat. Baginya, perlu ada rasa waspada selain rasa bimbang akan perbezaan status pekerjaan. Dia hanya seorang akauntan biasa. “Saya cuba untuk tidak terlalu melayan dia, tetapi Azlan pandai mengambil hati dan tahu cara membuat saya selesa dengannya. Kami berdua akhirnya bertukar nombor telefon dan mula menghantar mesej seperti sudah lama bercinta walaupun tidak pernah berjumpa. Saya masih belum bersedia untuk menemui Azlan dan dia masa itu menghormati keputusan itu. “Lama-kelamaan saya benar-benar jatuh cinta pada Azlan. Dia sering menghantar bunga jika dia terpaksa bekerja luar dan tidak dapat membalas mesej. Ia sebagai tanda meminta maaf. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk berjumpa dengannya,” tambahnya.

TUNJUK BELANG

Selepas empat bulan mengenali, Atikah sudah bersedia untuk berjumpa dengan Azlan di sebuah restoran. Ketika pertemuan itu, dia yakin bahawa Azlan adalah jodohnya dan dalam hati kecilnya, teringin membawa hubungan itu sehingga ke jinjang pelamin. Namun, dia perlukan masa untuk mengenali lelaki berkenaan dengan lebih lanjut. “Setelah pertemuan itu, kami kerap keluar dan akhirnya menjalin hubungan cinta seperti pasangan lain. Apabila keluar bersama, Azlan sudah berani memegang tangan dan merangkul pinggang saya. Pada mulanya, saya kurang selesa dan sedikit malu. Tetapi saya tak berani menegah kerana bimbang Azlan akan menganggapnya kolot. “Saya pula kini semakin leka dan terlalu cintakan Azlan sehinggakan dia sudah pandai dan berani bercakap dengan unsur lucah. Mulamula saya anggap dia mengusik dan bergurau tetapi makin hari makin berlarutan dan setiap hari ada sahaja topik di ranjang yang diperkatakan,” katanya dalam nada menyesal.

TERLEKA DAN TERLANJUR

Menurut Atikah, setelah hampir setiap hari memperkatakan tentang perkara ini, timbul keinginan untuk ke peringkat seterusnya. Atikah sendiri tidak tahu daripada mana datang keberanian untuk melakukan perbuatan terkutuk itu kerana sebelum ini dia hanya seorang wanita yang naif. “Segalanya bermula apabila saya mengajaknya pergi bercuti bersama dan Azlan dengan segera bersetuju. Saya tidak menyangka bahawa dia hanya menempah satu bilik sahaja. Entah bagaimana, saya tidak pula menidakkan aturan ini tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang. “Kami menginap di sebuah hotel mewah di Pahang dan akhirnya terlanjur. Apabila berduaan sudah pasti ada yang ketiga membisik. Selepas hari kejadian, saya dan Azlan sangat menyesal dengan perbuatan kami dan berjanji untuk berubah. Dia turut berjanji untuk bertanggungjawab ke atas saya,” katanya lagi.

MULA BERUBAH

“Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Azlan mula berubah hati. Dua minggu selepas kejadian berkenaan, dia mula mengabaikan mesej saya. Apabila menghubunginya, dia hanya memberi alasan jadualnya padat dan sedang fokus menguruskan projek besar. “Tiada lagi bunga dan kata maaf daripada Azlan jika dia lambat membalas mesej saya. Saya mengesyaki sesuatu dan akhirnya segala-gala terjawab selepas dia menyatakan hasrat untuk memutuskan hubungan. Ketika itu, saya merasakan dunia menjadi gelap gelita dan rasa amat marah akan Azlan kerana memungkiri janjinya. “Rupa-rupanya, Azlan sudah merancang untuk berkahwin dengan wanita pilihan ibu bapanya. Saya ditinggalkan terkontang-kanting seorang diri. Saya menyesal dan jijik akan diri sendiri. Kini, saya mencuba untuk bangkit dan mendekatkan diri pada Allah kerana sudah jauh terbabas daripada agama,” katanya sambil menangis. Dia kini serik untuk mempercayai lelaki apatah lagi untuk mencari jodoh di laman portal. Atikah mengakui dia tersilap langkah kerana terlalu memberi kepercayaan kepada jejaka bernama Azlan. Pesannya kepada wanita di luar sana agar sentiasa berhati-hati, ingat pada Tuhan dan ajaran agama. Usah terburu-buru menginginkan perkahwinan hingga mudahnya percaya dengan lelaki yang belum tentu memberi komitmen sepenuhnya kepada masa depan anda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.